UPSI bantu memperkasa mutu pendidikan rakyat Perak
SEBANYAK 3,150 pelajar dari 23 sekolah yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dibantu menerusi program Persekolahan Pintar dari Rumah atau Smart Home Schooling oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menerusi program tersebut, UPSI bukan sahaja membantu dari segi memartabatkan mutu pendidikan di Perak tetapi memperkasakan mutu pendidikan di negeri tersebut.
Naib Canselor UPSI ,Pof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, menerusi program empowerNCER akademik@Perak bersama UPSI, JabatanPendidikan Perak (JPN) serta Kerajaan Negeri Perak, seramai 2,750 pelajar SPM B40 dan 1800 murid orang asli di lima daerah iaitu Muallim, Batang Padang, Kampar, Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar dibantu pencapaian akademik mereka.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2022 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, semalam.
“Pelajar-pelajar ini dibantu pencapaian akademik dan keinsanan mereka melalui lebih 200 program khas yang disusun bersama UPSI dan JPN Perak,” katanya.
Beliau turut berbangga dengan kejayaan program tuisyen secara dalam talian yang dilaksanakan selama lebih 810 jam oleh Guru Bitara yang terdiri daripada guru-guru cemerlang seluruh negeri Perak.
Sambutan Hari Guru bertemakan ““Guru Tunjang Sekolah Sejahtera” itu disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang juga bekas seorang guru yang berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan dan pendidikan.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Sumber Manusia Negeri Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud.
UPSI, katanya, menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya sejak era Sultan Idris Training College (SITC) dan melahirkan ramai tokoh pendidikan, kepimpinan, negarawan dan sasterawan tersohor seperti Pendeta Zaaba, Aminuddin Baki, Tun Abdul Rahman Abbas, Ibrahim bin Haji Yaakub dan Tun Abdul Ghafar Baba.
Beliau berkata, UPSI juga bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak dalam Program KPT-CAP Gradpreneur@Perak dengan peruntukan sebanyak RM1,038,800.00 yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 500 anak negeri Perak yang ingin menceburi bidang keusahawanan melalui pemberian pinjaman Mikro Kredit dan latihan keusahawanan bersijil.
“UPSI juga menubuhkan Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Inovasi (CPRI) dalam memperkenalkan inovasi pedagogi terkini dan seterusnya yang akan menjadi think tank dalam polisi-polisi pendidikan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, bagi mengimarahkan “Universiti Untuk Komuniti”, UPSI menjadi tuan rumah untuk pelbagai program pendidikan dan keguruan termasuk Program Pesta Sukan Dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Negeri Perak, Selain itu, UPSI bakal mejalin hubungan erat dengan Sekolah Sukan dan Sekolah Seni di negeri Perak bagi membolehkan kemasukan khas pelajar cemerlang sukan dan seni ke UPSI.
Selain itu, katanya, UPSI turut menjadi tuan rumah Majlis Pelancaran Gerakan Massa #terimakasihcikgu dan Seminar Profesionalisme Pengetua-Pengetua Negeri Perak 2022 baru-baru ini.
“Sempena seabad penubuhan ini, UPSI sentiasa komited dalam melahirkan, membangunkan dan membentuk guru yang berkualiti tinggi agar mampu berdepan dengan cabaran dunia pendidikan yang semakin kompetitif,” ujarnya.
Majlis dihadiri lebih 1,000 guru termasuk alumni SITC- Maktab Perguruan Sultan Idris, Institut Perguru Sultan Idris dan UPSI yang kembali ke sisi UPSI atau lebih dikenali sebagai “Ibu Kandung Suluh Budiman”. – SM