Politik

Saya akur sebarang keputusan parti – Sulaiman Md. Ali

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 20 Mei – Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menyerahkan sebarang keputusan kepada pucuk
pimpinan parti dan sedia akur dengan apa sahaja yang akan diputuskan kelak.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak untuk tidak lagi membuat sebarang kenyataan mengenai
kedudukannya selepas ini.

Sulaiman Md. Ali berucap selepas menunaikan solat Maghrib di Dewan Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka.

“Saya masih lagi Ketua Menteri. Sebagai orang parti saya lebih utamakan parti daripada segala-galanya.

“Selepas ini tolong hentikan sebarang kenyataan kerana apa yang penting kita fokus untuk menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).


“Saya sangat terharu mendapat sambutan sebaik pulang dari luar negara, ini benar-benar mengejutkan saya,”
ujarnya.

Beliau berucap di hadapan 100 ahli parti daripada enam bahagian UMNO serta parti komponen Barisan Nasional
(BN) di Dewan Seri Bendahara di sini malam tadi.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu baharu pulang dari lawatan kerja di Bosnia and
Herzegovina dan Switzerland bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, petang semalam.

Sulaiman Md. Ali bersalaman dengan ahli parti sejurus tiba di Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Ibrahim Durum; Timbalan Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO negeri yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Ketua
UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd. Rahman dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Senator Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta sayap-sayap Wanita, Puteri dan Pemuda.

Terdahulu, ahli parti mula berkumpul menunggu kepulangan Sulaiman di Seri Bendahara sejak pukul 5.00
petang. Sejurus tiba kira-kira pukul 7.15 malam, beliau serta orang ramai yang hadir menunaikan solat
Maghrib.

Spekulasi peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 itu mula kecoh apabila Timbalan Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad memaklumkan, lima ketua bahagian di negeri ini
sebulat suara mempertahankan Sulaiman terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof pula berkata, khabar angin kononnya
Sulaiman dipaksa meletak jawatan sengaja diperbesarkan pihak tertentu, walaupun perkara sebenar sudah
berulang kali dijelaskan.

Dalam ucapan tersebut juga Sulaiman turut meminta semua bahagian untuk mengerakkan semula Pusat Daerah
Mengundi (PDM) sebagai persiapan menghadapi PRU-15 nanti.

Beliau berkata, BN menyasarkan untuk memenangi kembali beberapa kerusi Parlimen yang terlepas kepada pihak
pembangkang seperti Alor Gajah, Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya serta Masjid Tanah.

 

(Visited 122 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button