Bola SepakSukan

United tersingkir daripada Liga Juara-Juara

OBOR perjuangan Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara telah dipadamkan oleh RB Leipzig setelah mereka menyingkirkan kelab Liga Perdana Inggeris itu 3-2 di Jerman, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

The Red Devils hanya perlu mengelak ditimpa kekalahan di Red Bull Arena dan telah mempertaruhkan lima pemain di benteng pertahanan.

Bagaimanapun, mereka dibolosi seawal minit kedua apabila pemain pinjaman dari Manchester City, Angelino meledakkan gol buat tuan rumah hasil kesilapan barisan pertahanan United.

Amadou Haidara menggandakan kedudukan 10 minit berselang, setelah dia mudah merembat masuk bola ke pintu gol Red Devils tanpa diberikan cabaran.

Ole Gunnar Solskjaer gagal menjelmakan majis sewaktu rehat babak pertama, meskipun terdapat peningkatan dalam persembahan skuad bimbingannya.

Dia membuat keputusan membawa masuk Paul Pogba ketika permainan berbaki setengah jam untuk tamat, tetapi malangnya Leipzig pula yang mendapat gol ketiga hasil jaringan Justin Kluivert setelah berjaya menewaskan David De Gea.

Bruno Fernandes merapatkan jurang gol menerusi sepakan penalti dengan masa sebenar perlawanan hanya 10 minit untuk berakhir dan Pogba menanduk masuk gol kedua United selang dua minit selepas jaringan pertama, namun segala usaha keras itu tidak mencukupi untuk membantu pasukan mereka mengisi slot kalah mati. – Mirror – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button