Nasional

UniMAP lancar tabung COVID-19, dana permulaan RM100,000

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan Tabung Bantuan Bencana Covid-19 (TBBC) khusus untuk menggalakkan warganya sama-sama membantu menghulurkan sumbangan dalam pengurusan bencana terutama dalam tempoh arahan kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini.
Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, buat permulaan, pengurusan universiti telah bersetuju untuk memperuntukkan dana RM100,000 bagi menggerakkan tabung tersebut sebelum dipanjangkan kepada seluruh warga UniMAP dan orang ramai yang berminat.
Menurut beliau, tabung tersebut akan digunakan untuk membiayai kos makan sejumlah 538 orang pelajar yang memilih untuk kekal di penempatan berpusat di Kolej Kediaman UniMAP sepanjang tempoh kawalan pergerakan tersebut.


“Berdasarkan rekod, jumlah tersebut adalah termasuk 41 orang pelajar antarabangsa UniMAP, 66 pelajar dari Sabah serta 52 pelajar dari Sarawak. Penyediaan makanan akan dikendalikan sepenuhnya oleh pengusaha kafeteria yang dilantik bagi memastikan para pelajar tidak terdedah kepada orang awam.
“Selain pelajar, sebahagian dari dana tersebut juga akan digunakan untuk kebajikan staf yang terpaksa mengorbankan cuti dan bertugas sepanjang tempoh kawalan pergerakan antaranya anggota keselamatan UniMAP, petugas Pusat Kesihatan Universiti serta petugas Jabatan Hel Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan Kolej Kediaman yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pelajar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dana permulaan itu dijangka cukup untuk menampung kos kebajikan pelajar dan staf untuk tempoh dua minggu akan datang, namun sekiranya wabak Covid-19 semakin serius, dan tempoh kawalan dipanjangkan, maka lebih banyak dana yang diperlukan untuk menampung kos tersebut.
Atas dasar itu, ujar beliau, TBBC itu dibuka untuk orang awam terutama warga UniMAP menyalurkan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.
“Pada masa sama, kita juga membuka peluang kepada mana-mana pihak, agensi atau syarikat makanan segera khususnya untuk menyumbangkan makanan buat para pelajar di penempatan berpusat UniMAP,” tambah beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button