Pendidikan

Halatuju jelas, visi UniMAP Beyond 2030

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu mempunyai satu hala tuju yang jelas melalui inisiatif ‘UniMAP Beyond 2030’. Ia bertujuan untuk mengalami lonjakan yang berterusan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan “Majlis Iftar @ UniMAP” yang diadakan di Surau Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor universiti.

Menyambut keberangkatan tiba Baginda berdua ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Sri Sufri Hj. Mhd Zin; Naib Canselor, Prof. Datuk Ts Dr. Zaliman Sauli; serta pengurusan tertinggi universiti.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Canselor UniMAP, ‘Inisiatif ini memerlukan perbincangan yang menyeluruh, melibatkan sama pengurusan utama universiti, baik yang sebelum ini mahupun yang sekarang, demi kemajuan universiti yang kita sayangi ini’.

Tuanku Raja Muda menawarkan diri menjadi sebahagian daripada ahli perbengkelan ini bersama-sama Pro Canselor bagi menilai pencapaian yang telah lalu, pencapaian semasa, serta sama-sama merangka hala tuju masa hadapan.

‘Dalam usaha ini, kita perlu memberi perhatian kepada aspek-aspek penting seperti kedudukan UniMAP dalam The Times Higher Education (T.H.E.) World University Rankings, The QS World University Rankings dan KPI-KPI lain yang menjadi penanda aras kecemerlangan universiti’.

Tambah Baginda, ‘Sebagai seseorang yang telah bersama UniMAP sejak era Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) lagi, Baginda yakin pengalaman pengurusan yang terdahulu dapat menjadi rujukan yang sangat berharga, sementara kepimpinan baharu pula akan membawa idea-idea segar yang sejajar dengan perubahan global’.

‘Perbincangan yang inklusif ini, InsyaAllah, akan mampu memastikan strategi akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan dan kolaborasi industri dapat dilaksanakan dengan efektif. Ini seterusnya akan memperkukuh kedudukan UniMAP bersiapsiaga sebagai sebuah institusi unggul di peringkat antarabangsa bagi mendepani segala cabaran 10 hingga 20 tahun kehadapan’.

Di majlis yang sama seramai 361 orang pelajar UniMAP terpilih yang berasal dari seluruh negara dari kalangan keluarga asnaf yang layak menerima agihan zakat daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hadir. Masing-masing menerima RM300 disampaikan sendiri oleh Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda. Pihak MAIPs memperuntukkan RM150,000 untuk tujuan tersebut kali ini. Terdahulu daripada itu acara simbolik penyerahan dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor kepada Datuk Zaliman disaksikan oleh Baginda berdua.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button