UniMAP lakar sejarah terima Anugerah Malaysia’s Best for Professional TVET Certification
UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) telah melakar sejarah apabila menjadi Universiti Teknikal pertama sebagai penerima Anugerah Malaysia’s Best for Professional Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Certification dalam Malaysia Education & TVET Awards (META) 2023.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, faktor kejayaan institusi ini adalah dengan memberi fokus kepada program-program TVET berimpak tinggi dalam bidang berteknologi terkehadapan seperti sektor elektrik dan elektronik terutamanya dalam perindustrian semikonduktor.
UniMAP melalui penubuhan Pusat TVET mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan berkualiti dan memperkasakan pelajar UniMAP.
Baginda bertitah, fokus TVET UniMAP adalah untuk memperkasa pelajar dengan ilmu pengetahuan, kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal, meningkatkan kebolehpasaran modal insan seiring dengan kehendak pemain industri, serta menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama generasi muda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Canselor UniMAP ketika berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-18 UniMAP di Dewan Ilmu, UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra, Arau, Perlis.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Sufri Mhd Zin; Naib Canselor Prof. Datuk Ts Dr. Zaliman Sauli dan pengurusan tertinggi universiti.
Baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Prof. Dr. Kazuhiro Nogita dan Anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Pengurusan kepada Zaki Abdul Aziz M.H. Daud.
Manakala Anugerah Pelajaran DiRaja diterima oleh Siti Mahfuzah Fauzi dan Chong Kah Vui, penerima Pingat Emas Canselor, Abdul Khalim Al Azizi Syahril dan Ng Kuang Yee, penerima Pingat Emas Naib Canselor, Duane Regen Anak Broster, C. Sashnetha dan Musaab Nabil Ali Askar dan penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Pengajian Siswazah, R. Revati, Nur’ain Wahidah Ya Omar, Aiman Ismail Mohamed Jamil dan Zuraini Ibrahim.
Seramai 418 graduan telah terlibat pada sidang pertama ini terdiri daripada siswazah Pusat Pengajian Siswazah (PPS) dan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK). – SM
baca 2,048 mahasiswa UniMAP bertuah bertemu Raja Muda, Raja Puan Muda