NasionalNegeri

UniMAP bina Rumah Lestari Mesra OKU beri keselesaan

Nur Hidayatul, anak OKUnya bakal masuk rumah baharu

BUAT julung kali, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan membina sebuah Rumah Lestari Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai menyahut cogan kata “UniMAP for Society”.

Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, penyelidik UniMAP akan memanfaatkan kepakaran dan ilmu yang dimiliki dan berkongsi dengan komuniti agar golongan ini dapat menjalani kehidupan lebih baik seiring perkembangan teknologi semasa.

Zaliman berkata, struktur pembinaan rumah bernilai RM30,000  itu akan melibatkan gabungan kepakaran penyelidik dan pelajar daripada semua fakulti di UniMAP.

PELAJAR UniMAP yang terlibat dalam pembinaan Rumah Lestari Mesra OKU di Ulu Pauh, Arau, Perlis

“Ia terdiri dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN), Fakulti Teknolgi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) dan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia Cawangan Utara,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah di Kampung Ulu Pauh dekat Arau, Perlis.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh, Rozieana Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof Ir Dr. Rizalafande Che Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP,  Prof Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Pegawai Khas Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Arau, Che Zaidi Saidin.

Related Articles
Rekabentuk Rumah Lestari Mesra OKU.

Beliau berkata, dengan keluasan 20’ X 30’, Rumah Lestari ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 22 hari.

“Sepertimana yang diterangkan oleh Prof Madya Ts Dr. Afizah Ayob sebentar tadi, Rumah Lestari ini menggabungkan konsep teknologi hijau.

“Ini bagi memastikan rumah ini dapat menjana tenaga sendiri dengan menggunakan panel solar di samping aspek lain yang menggunakan semula air hujan untuk kegunaan tertentu,” jelasnya.

Nur Hidayatul Omar

Sementara itu, Rumah Lestari dibina khusus untuk seorang ibu tunggal, Nur Hidayatul Omar,32.

Beliau mempunyai dua anak di mana anak sulongnya, Muhamad Haziq Hakimi, 13 adalah Orang Kurang Upaya (OKU) dan Nur Hayfa Humaira, 10.

“Keadaan Muhamad Haziq terlantar. Dia menjadi begini sejak kena sawan semasa kecil,” katanya yang tabah membesarkan kedua-dua orang anaknya.

Nur Hidayatul juga berkata, beliau tidak menyangka Rumah Lestari yang direka khas ini amat sesuai untuknya anak beranak.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada UniMAP kerana menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa untuk kami,” kata Nur Hidayatul yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah kedai makan .

Beliau yang tidak putus-putus menzahirkan rasa syukur, juga melahirkan rasa gembira kerana bakal menduduki Rumah Lestari Mesra OKU yang bakal siap menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button