Undi belanjawan: Ditelan mati emak, diluah mati bapa – Khalid
PENGARAH Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad menyifatkan pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021 Khamis lalu ibarat pepatah Melayu ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.
Menurut Khalid, pada hakikatnya semua pimpinan Amanah menolak belanjawan yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Justeru beliau menegaskan tidak wujud perbezaan atau perpecahan dalam kalangan pimpinan Amanah apabila ada ahli Parlimen Amanah yang menyokong dan ada yang tidak menyokong usul belah bahagi yang dibawa sendiri oleh Ahli Parlimen Amanah (Pokok Sena) Datuk Mahfuz Omar.
“Situasi yang mencabar ini boleh digambarkan melalui pepatah Melayu “ditelan mati emak, diluah mati bapa” telah menghasilkan tindakan berbeza yang pada hakikatnya kedua-duanya betul.
“Kita tidak berpeluang untuk berbincang dan berbahas untuk menentukan mana satu di antara dua pilihan betul ini adalah yang lebih betul.
“Namun kita yakin kedua-dua kumpulan telah bertindak mengikut pertimbang mereka masing-masing dengan mengharapkan yang terbaik bagi Amanah dan Pakatan Harapan,” jelas Khalid dalam satu kenyataan.
Katanya, keadaan yang mengelirukan terhasil apabila keputusan berubah di saat terakhir tanpa perbincangan dan penjelasan kepada semua ahli Parlimen PH.
Khalid berkata, sebahagian pimpinan iaitu seramai 5 orang termasuk Presiden Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub berpegang kepada keputusan baharu kerana ingin menjamin keutuhan dan kesatuan PH.
Pada masa yang sama, menurutnya, sebahagian pimpinan Amanah yang lain iaitu seramai enam ahli Parlimen telah bangun meminta undi belah bahagi juga turut berusaha memenuhi kehendak parti dan keputusan Majlis Presiden PH.
“Sepertimana yang diketahui, pengundian ke atas belanjawan begitu ditunggu-tunggukan seluruh rakyat dan Amanah telah berjanji untuk melakukannya sehingga ke tahap belah bahagi.
“Oleh itu tindakan sebahagian pimpinan ini turut dilihat betul juga dan selari dengan aspirasi pimpinan dan ahli Amanah.
“Pada hakikatnya semua pimpinan Amanah menolak belanjawan yang telah dibentangkan. Perbezaannya adalah samada melakukan belah-bahagi atau tidak. Dan perbezaan ini hanya timbul pada saat terakhir hasil cadangan Pengerusi PH (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” kata Khalid.
Khalid berkata, Amanah memahami ramai yang kecewa dengan apa yang telah berlaku. Namun kekecewaan tersebut akan menjadi lebih parah sekiranya ianya menggugat kesatuan dan perpaduan dalam Amanah serta antara Amanah dengan PH.
Tegas beliau, apa yang berlaku pada Khamis lalu tidak menjejaskan langsung komitmen Amanah untuk menolak kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tetap dianggap sebagai kerajaan pintu belakang dan tidak memiliki mandat sah dari rakyat.-SM