Politik

Undi belah bahagi pembangkang hanya wayang – Ka Siong

SEMANGAT berkobar-kobar ahli Parlimen Pembangkang untuk melakukan undi belah bahagi terhadap peruntukan Belanjawan 2021 semua kementerian disifatkan hanya sebagai ‘bermain wayang’.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kegagalan ahli Parlimen Pembangkang untuk melakukan undi belah bahagi terhadap Belanjawan Kementerian Luar Negeri pagi tadi membuktikan mereka tidak konsisten.

“Belanjawan 2021 untuk Kementerian Luar Negeri diluluskan di Peringkat Jawatankuasa dengan lebih suara bersetuju.

“Semalam kata nak buat undi belah bahagi untuk semua Kementerian? Nampaknya MP pembangkang sudah sedar bahawa ‘wayang’ mereka kini sudah tak laku,” kata Ka Siong.

Presiden MCA itu turut menyindir Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu yang lantang bersuara semalam mahu melakukan undi belah bahagi terhadap setiap Belanjawan Kementerian.

Related Articles

Ka Siong mendakwa, Presiden Amanah itu tidak berada di dalam Dewan Rakyat ketika pengundian suara berlaku.

“Sebab itulah saya gunakan tagline #ConsistentlyInconsistent bagi menyifatkan tindakan pembangkang mengusulkan undi belah bahagi di Dewan Rakyat semalam.

“Semalam bukan main lagi Mat Sabu berteriak kata, “pembangkang akan minta undi belah bahagi bagi setiap kementerian dan biar kalah 27:0 pun tak apa”.

“Hahaha…. Tapi Abang Mat tak berada di Dewan Rakyat semasa memutuskan Belanjawan 2021 di Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Luar hari ini!” kata Ka Siong.

Menurut beliau, hanya Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berada di kerusinya sementara lapan kerusi barisan hadapan blok pembangkang kosong ketika Belanjawan 2021 bagi Kementerian Luar Negeri diputuskan.

“Kebetulan juga, pada masa sama Datuk Seri Najib Razak hadir dan berada di dalam Dewan Rakyat. Apakah kehadiran DS Najib menyebabkan PH mengubah strategi dan tidak lagi berani untuk meminta undi belah bahagi? Hanya pemimpin PH yang dapat menjawabnya!

“Semalam cakap lain, hari ini buat lain. Patutlah Manifesto PH pada PRU14 tidak ditunaikan kerana #ConsistentlyInconsistent adalah falsafah PH!” sindir Ka Siong.

Selain Kementerian Luar Negeri peruntukan terhadap Kementerian Perpaduan Negara juga diluluskan dengan undi suara majoriti tanpa seorangpun ahli Parlimen Pembangkang bangun untuk mengusulkan undi belah bahagi.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button