fbpx
Nasional

Guru dakwa jadi mangsa diperkosa pendakwah muda

SEORANG guru wanita berusia 22 tahun mendakwa dirinya diperkosa oleh seorang lelaki yang juga pendakwah muda pada 22 Oktober lalu.

Difahamkan, sebelum kejadian rogol itu berlaku, suspek telah mengajak mangsa keluar untuk menyambut hari lahirannya di sebuah restoran di Petaling Jaya, Selangor.

Selepas selesai makan malam, mangsa kemudian diajak ke rumah suspek. Mangsa yang pada mulanya enggan bagaimanapun akur selepas dipujuk rayu oleh suspek.

Kejadian rogol berlaku ketika mangsa berada di rumah suspek sebelum dihantar pulang ke rumahnya pada keesokan hari.

Malah, mangsa juga diugut oleh suspek supaya tidak menceritakan apa yang berlaku kepada sesiapa sehingga menyebabkan mangsa mengalami tekanan perasaan dan trauma.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, laporan polis dibuat mangsa semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat laporan berkaitan kes cabul, rogol dan seks luar tabii melibatkan seorang pendakwah muda.

“Kita dah bersedia dan sudah menubuhkan pasukan khas untuk siasat kes melibatkan suspek. Setakat ini laporan yang kita terima semuanya melibatkan kes-kes yang baru berlaku.

“Tak kira sebenarnya kes lama atau baru, hanya datang dan buat lapoan sahaja. Kami akan siasat,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Menurut Huzir, sehingga semalam, pihaknya telah menerima tujuh laporan polis berkaitan kes melibatkan pendakwah muda itu.

Jelasnya, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 376, 377C, dan 354 Kanun Keseksaan.

“Tujuh mangsa yang terlibat berusia lingkungan 22 hingga 26 tahun dan kesemua mereka merupakan pengikut akaun Instagram milik suspek,” katanya.

Jelas Huzir, modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan menghantar mesej terhadap pengikutnya di Instagram sebelum mengajak mangsa untuk keluar makan.

Tambahnya lagi, suspek kemudian akan menggunakan pelbagai helah untuk memperdaya mangsa ke rumanya selepas itu. -SM

(Visited 1,278 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button