Undang-undang tidak mampu lindungi pengguna jalan raya?
KEJADIAN tayar lori meletup dan menyebabkan kemalangan sudah menjadi perkara biasa di negara ini. Namun kali ini melibatkan jumlah nyawa yang banyak terkorban ia menjadi perhatian umum.
Jika tidak ia dianggap sebagai kemalangan jalan raya yang biasa, sedangkan perkara itu boleh dielak jika syarikat milik kenderaan berat lebih prihatian dalam soal penyelenggaraan, manakala pihak berkuasa seperti polis, penguatkuasa lebuh raya dan Puspakom lebih tegas dalam hal ini.
Sekali lihat sahaja kita dapat kenal pasti lori tidak layak berada di jalan raya atau membawa lebih muatan yang boleh mengakibatkan insiden yang tidak dikehendaki. Kegagalan mengesan pergerakan kenderaan berat sedemikian tidak lagi boleh diterima ketika kemudahan CCTV sudah menjadi kelaziman di mana-mana saja, apatah lagi di kawasan risiko seperti jalan raya.
Persoalannya kini sejauh mana penguatkuasaan dijalankan dan apakah undang-undang yang ada hari ini sudah cukup untuk mengekang kejadian sedemikian daripada berulang.
Apakah tayar celup dibenarkan di negara ini sedangkan ia menjadi punca tayar kenderaan berat meletup hingga mengakibatkan kemalangan kenderaan lain.
Ketika negara kita memasuki tahun 2025 kita masih lagi bergelut dengan isu ini yang cukup memalukan.
Itu belum lagi isu bas ekspres yang dipandu bagaikan kenderaan formula satu. Sudahlah mereka membawa puluhan nyawa, sepanjang jalan juga nyawa pengguna jalan raya lain dirisikokan.
Kita akan menjadi heboh apabila bila berlaku tragedi bak pepatah Sudah terhantuk baru terngadah. Ketika itu ia sudah terlambat kerana sudah ada nyawa yang terkorban.
Apakah negara ini sebegitu teruk sehingga ada nyawa yang terkorban dalam jumlah baru diadakan kajian. Di mana pihak yang membuat dasar dan polisi kerajaan. Tidakkah ia perlu sentiasa dikaji bagi memastikan kesejahteraan negara berterusan.
FAKTA DAN KRONOLOGI KEJADIAN DI MELAKA
7 DISAHKAN MAUT DALAM NAHAS JALAN RAYA DI LEBUHRAYA PLUS DEKAT MELAKA
▪︎ JBPM Negeri Melaka menerima panggilan kecemasan tentang kemalangan jalan raya pada jam 8.45 malam yang berlaku di kilometer 204.0, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, Melaka
▪︎ Pasukan Bomba daripada BBP Ayer Keroh Dan BBP Alor Gajah telah digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.
▪︎ Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Estima telah bertembung dengan sebuah bas persiaran dan sebuah lori treler.
▪︎ Sejumlah 36 orang mangsa yang terlibat dalam kejadian itu. 7 orang mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan KKM yang turut hadir di lokasi kejadian.
▪︎ Manakala, 29 orang mangsa lagi mengalami kecederaan. Operasi penyelamatan mangsa telah giat dijalankan oleh 27 orang anggota Bomba bertugas yang hadir bersama jentera FRT, kenderaan Unit EMRS, motosikal Unit RIM, jentera LFRT serta kenderaan utiliti Toyota Hilux.