Nasional

Uncle Kentang bertuala geram tiga hari tiada air di Selangor

KUALA LUMPUR – Dek kerana geram tiga hari tiada air di rumahnya di Selangor aktivis masyarakat dan kemanusiaan, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang membuat protes dengan hanya memakai tuala.

Namun gambar aksi memakai tuala yang dikongsi Uncle Kentang itu hanyalah dilakukan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Shah Alam (KESAS) yang terletak di Selangor itu.

Dalam gambar itu Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia tersebut dilihat turut memegang berus gigi, ubat gigi dan sabun mandi.  Mungkin beliau mahu menumpang mandi.

Aksi Uncle Kentang menyerupai tindakan klasik Presiden Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos yang membuat kejutan dengan memakai tuala dan berus gigi ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam pada Disember 2016.

Gimik itu dilakukan Jamal sebagai protes kepada kerajaan negeri Selangor ekoran isu krisis bekalan air yang tidak selesai pada ketika itu.

“Saya bukan Jamal Sekinchan. Saya apek Cina Ah Kuan. Sudah 3 hari tak ada air. Entah lah nak salah siapa. Sedih dan frustrating.

“Syabas kata entah bila nak resume supply. Mereka sedang usaha. Tapi tak berani janji bila. Jawab macam tak jawab. Rakyat terpinga-pinga sekali lagi,” kata Uncle Kentang.

Sebahagian kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan air tidak berjadual selepas loji rawatan air ditutup kerana pencemaran sejak Sabtu lalu.

Menerusi satu notifikasi di aplikasi rasmi mereka, Air Selangor berkata, pencemaran air mentah menyebabkan loji rawatan Sungai Semenyih dihenti tugas pada pukul 10 pagi.

Beberapa kawasan akan terjejas disebabkan oleh gangguan bekalan air tidak berjadual, secara berperingkat.

Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menerusi Facebook memberitahu, loji rawatan itu dihenti tugas pada pukul 7.15 pagi Sabtu disebabkan oleh pencemaran bau seakan pelarut.

Ini bukanlah kali pertama Selangor mengalami masalah air disebabkan pencemaran yang dilakukan oleh manusia.

Jika diambil kira protes ‘Jamal Sikincan’ pada 2016 sehingga terpaksa bertuala di hadapan Bangunan SUK Selangor nampaknya masalah air di negeri paling maju di Malaysia iru telah berlarutan sejak sekian lama.

Beberapa hari lagi negara akan memasuki tahun 2020 tahun di mana Malaysia disasarkan menjadi negara maju.

Adakah rakyat Selangor akan terus menghadapi masalah air pada tahun 2020? – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button