Politik

UMNO tuntut Parlimen Alor Setar pada PRU15

UMNO Bahagian Alor Setar yang bersidang semalam telah membawa usul supaya parti itu bertanding di kawasan parlimen tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam usul yang dicadangkan oleh Fazil Hashim dari UMNO Cawangan Tanjung Bedahara itu, UMNO bahagian Alor Setar menekan bahawa sudah tiba masanya untuk Parlimen Alor Setar diserahkan kepada UMNO kerana majoriti pengundinya adalah Melayu.

Katanya, rakan komponen Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah menerima kekalahan yang teruk.

“Atas dasar ketetapan ini UMNO Bahagian Alor Setar mendesak dengan pertimbangan sewajarnya calon Parlimen Alor Setar pada PRU15 dari calon UMNO Bahagian Alor Setar,” katanya ketika membentangkan usul politik pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu semalam.

Desakan itu dibuat atas pertimbangan, jumlah pengundi Melayu yang beragama Islam adalah paling besar iaitu sebanyak 64.4 peratus diikuti pengundi Cina (30.9 peratus) dan India (4.2 peratus).

Fazil berkata, sudah tiba masanya UMNO diberikan tanggungjawab untuk menerajui Parlimen Alor Setar kerana persekitaran fizikal dan demografinya jelas mencorakkan perkembangan sosio ekonomi yang mejoritinya adalah oran Melayu.

“Melayu ini perlu dibela dan diperjuangkan. Tiba masanya suara Melayu diangkat. Melayu Alor Setar jauh ketinggalan terutama dari segi kedudukan ekonomi dan hak keistimewaan lain seperti perumahan, peluang pekerjaan dan ruang perniagaan,” katanya.

Katanya, apa yang diusulkan itu adalah suara akar umbi bahagian Alor Setar yang mahu mesej disampaikan kepada pucuk pimpinan bahawa sudah sampai masanya kawasan parlimen itu diserahkan kepada UMNO.

Lagi pula katanya, UMNO mempunyai kekuatan jentera pilihan raya di semua peringkat yang telah digerakkan sebaik sahaja BN tewas pada PRU14.

Sementara itu, Datuk Ir Guntor Mansor Tobeng dalam ucapan menyokong perbahasan usul politik meminta UMNO dan MCA berunding mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua belah pihak dan tidak mengecilkan hati mana-mana parti dan penyokong mereka.

“Diperingkat Alor Setar kita perlu duduk berunding dengan MCA sebagai komponen BN dan berunding atas semangat setiakawan yang pernah bersama mengharungi perjuangan jatuh dan bangun,” katanya.

Guntor berkata, semangat MCA untuk bekerjasama dengan UMNO menerusi BN adalah lebih ikhlas dan lebih tinggi berbanding kerjasama UMNO dengan parti lain menerusi Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

“Keikhlasan dan setiakawan MCA telah teruji malahan tidak luntur bersama UMNO. Mereka tidak lari keluar dari BN walaupun parti lain satu demi satu meninggalkan gabungan itu. Sejarah menunjukkan sudah 60 tahun MCA bersama UMNO dalam BN.

“Masih ingatkah kita apabila UMNO diharamkan pada 1988 dan Dr Mahathir Mohamed secara perlembagaan hilang jawatan Perdana Menteri, Ling Liong Sik telah memangku jawatan Perdana Menteri sehingga UMNO didaftar semula.

Katanya, UMNO sebagai abang dalam BN tidak patut menggunakan kuasa abang itu sewenangnya tanpa mempedulikan peranan adik iaitu parti komponen yang lain.

“KIta jangan kelihatan bersikap autokrasi dan menindas yang lain. Kita harus bijak berperanan sebagai abang yang mempertahankan hak tetapi pada masa yang sama bertimbang rasa dengan adik-adiknya.

“Kita harus ingat UMNO belum kembali kuat selepas kekalahan kita pada pilihan raya umum lepas. Dalam mengumpul kembali kekuatan kita perlu dokongan semua adik beradik kita. Semua adik-beradik kita adalah penting dalam memperteguhkan kembali kapal BN,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button