UMNO tunggu ROS lulus pindaan perlembagaan
KUALA LUMPUR- UMNO akan menghantar surat permohonan pindaan dan menyerahkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk memberikan kelulusan berhubung perkara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usul pindaan berkenaan pemilihan parti itu telah pun diluluskan sebulat suara oleh UMNO.
“Seperti yang kita tahu, usul tersebut telah pun diterima sebulat suara dan selepas ini UMNO akan menulis surat kepada RoS untuk mendapatkan kebenaran, terserah kepada RoS prosedurnya,” katanya ketika ditemui media di WTC Kuala Lumpur pada Ahad.
Ditanya adakah UMNO akan berdepan masalah sekiranya RoS tidak meluluskan pindaan tersebut, Ismail yang juga Naib Presiden UMNO berkata perkara itu akan diuruskan dalam tempoh 60 hari.
“Masalah? Kita taktahu kita akan akan hantar permohonan bagi dapatkan kebenaran daripada RoS tentang pindaaan kita.
“Jadi kita tunggulah dalam masa 60 hari kena hantar,” katanya.
Dalam perkembangan berbeza, Perdana Menteri memaklumkan bahawa UMNO sudah lama bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“UMNO dah sedia daripada dulu lagi.
“Tarikh pula ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan Kabinet kalau ada apa-apa.
Parti berbeza dengan kerajaan kerana parti pun tahu kalau ada cadangan dibawa ke Kabinet dan Kabinet memutuskan kalau dah putus tarikh akan beri mandat kepada saya untuk bincang dengan Agong itu saja prosedur.
“Tahun ini pilihan raya? Kita tunggulah,” ujar Ismail Sabri, lapor Suara TV.