Politik

Pindaan Perlembagaan: Tanda UMNO Bertambah Progresif

ALHAMDULILLAH, lafaz syukur kita ucapkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah perkenan dan izin-Nya, maka Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini telah sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

2. Keputusan sebulat suara ini adalah suara dari setiap akar umbi parti bagi memastikan UMNO berada dalam landasan terbaik dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

3.  Jika adanya pemilihan parti sebelum PRU, apalah ertinya memenangi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan tetapi UMNO tewas PRU akibat perpecahan parti hasil perebutan jawatan parti.

3. Atas semangat mahukan kestabilan politik diperkukuh, tumpuan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang kesemua kepimpinan tertinggi parti, bahagian dan akar umbi parti bersetuju untuk bersatu hati fokus kepada keutamaan untuk menang PRU terlebih dahulu.

4.  Sesungguhnya UMNO mempunyai visi dan misi yang jelas untuk rakyat, masyarakat dan negara. Idea-idea transformasi telah banyak terbukti berjaya.


5. Transformasi parti UMNO dapat dilihat apabila kuasa memilih tidak lagi terletak di tangan 2,510 orang perwakilan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO, tetapi diperluaskan ke peringkat perwakilan Bahagian, melibatkan seramai 146,500 orang.

6.  Langkah ini telah meletakkan UMNO lebih ke hadapan, dalam meraikan amalan demokrasi berbanding parti politik lain termasuk yang berjenamakan demokratik.

7. Tidak kurang juga dalam soal memastikan kestabilan, tanpa meminda perlembagaan, parti pernah membuat keputusan supaya jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

8. Namun, pada pemilihan Jun 2018, setelah 30 tahun kerusi Presiden tidak dipertandingkan sejak 1988, saya sendiri, yang ketika itu menjalankan tugas-tugas Presiden, telah mencadangkan agar semua jawatan parti termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan. Cadangan tersebut dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi.

9. Inilah fasa-fasa yang berlaku di dalam UMNO yang mematangkan kita dan memantapkan parti untuk terus relevan di persada politik tanah air.

10. Begitu juga gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum adalah usul daripada majoriti Bahagian-Bahagian yang telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing. Keputusan di peringkat akar umbi, dan seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung dua bulan lalu telah pun dipersetujui dan diluluskan.

11. Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi dan membayangkan UMNO mahu terus berubah secara dinamik dan optimis.

12. UMNO bangkit selepas tewas PRU ke-14 tetapi kekal berpaksikan kesetiaan,

bertanggungjawab dan tidak lari ketika bertempur di medan, tidak tunduk kepada ugutan kini bersiapsiaga berdepan dengan musuh parti dan pilihan raya umum.

13. Saya mengajak kesemua ahli UMNO terus  kekal istiqomah dalam perjuangan. Jangan ada mengkhianati parti, jangan tunduk pada musuh parti!

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

(Visited 106 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button