Politik

UMNO tolak kerjasama dengan PPBM, dakwa berniat jahat

UMNO mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan parti tersebut.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,  UMNO menolak untuk meneruskan kerjasama dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum ke-15 setelah menyedari ketidakjujuran muslihat politik yang dilakukan oleh parti itu terhadap UMNO.

“Ingin saya tegaskan, dukungan terhadap pembentukan kerajaan Perikatan Nasional adalah demi rakyat. Kerajaan sebelumnya menzalimi rakyat.

“Mereka gagal melaksanakan manifesto yang akhirnya mereka akui ia bukan kitab suci. Malah janji 100 hari pertama pun semuanya ke laut!

“UMNO tidak pernah dan tidak akan mendukung gabungan politik dalam Perikatan Nasional. Ketetapan ini bukan hanya dari Majlis Kerja Tertinggi tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang tidak senang dengan gelagat politik PPBM. Mereka berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan UMNO,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presidan Perhimpuan Agung UMNO 2020 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia sebentar tadi.

Beliau turut mendakwa, PPBM seolah-olah ular lidi yang mahu menelan ular sawa.

“Kita sedar, malah semua ahli UMNO sedar, bahawa PPBM tidak mendapat dukungan rakyat sepenuhnya, dan tidak mempunyai sokongan akar umbi.

“Namun, hasrat ular lidi untuk menelan ular sawa terus dipergiatkan tanpa henti. Termasuklah
muslihat politik ketika kita menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah. Waspadalah! Muslihat mereka tidak akan berhenti selagi UMNO tidak hancur.

“Penolakan akar umbi telah pun diterjemahkan melalui usul yang diluluskan di 124 Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian. Malah, 147 daripada 191 Ketua-Ketua UMNO Bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegaskan, UMNO tetap dengan keputusan Majlis Tertinggi parti itu untuk menolak kerjasama dengan DAP dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perlu saya tegaskan pendirian kita dalam menghadapi PRU-15; Kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi ….. No PPBM, No ANWAR, No DAP.

“Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barisan Nasional.

“Yakinlah! Sesungguhnya cahaya terang-benderang sedang menanti kita di hujung terowong,” kata Ahmad Zahid.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button