Politik

Zahid letak noktah kepada kerjasama dengan Bersatu

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan noktah tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Penegasan itu dibuat ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Sekaligus beliau juga menjelaskan UMNO akan bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) bersama-sama rakan sekutunya termasuk MCA dan MIC.

Zahid juga menjelaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Beliau juga tiada perbincangan sebarang bentuk kerjasama sama ada secara formal atau tidak formal.

Perkara utama yang ditekankan beliau adalah untuk mengukuhkan UMNO dan Barisan Nasional sebagai parti yang dominan.

Selepas UMNO kembali menjadi dominan barulah parti itu akan membuka pintu kepada mana-mana parti yang mahu membentuk kerajaan selepas pilihan raya kelak.

Beliau turut menyindir rakan-rakan pemimpin UMNO yang berada di dalam kerajaan PN sama ada menjadi menteri kabinet atau jawatan di dalam GLC supaya menjaga amanah UMNO dan bukan mengamalkan prinsip mengaut kekayaan untuk kepentingan peribadi.

Zahid turut memberitahu bahawa satu manifesto akan diumumkan oleh parti itu dalam pertemuan dengan peringkat tertinggi pemimpin BN.

Zahid turut menyindir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa belum terlambat untuk mereka kembali ke pangkal jalan.

Pas pada masa ini bersama-sama Bersatu di dalam PN dan menyebabkan berlakunya pergeseran dengan para pemimpin UMNO yang enggan menyertai pakatan itu.

Zahid sekali lagi menegaskan bahawa keputusan itu bukan keputusan beliau tetapi dibuat oleh akar umbi yang menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu yang dilihat tidak ikhlas dalam bekerjasama.

Bersatu dilihat lebih cenderung kepada membunuh UMNO secara halus dan tidak bermoral dengan membeli para pemimpinnya dengan tawaran kepentingan peribadi.

Zahid kelihatan lebih santai pada ucapan kali ini berbanding perhimpunan agung yang lalu lebih tertekan kerana baharu berdepan dengan kekalahan mengejut pada pilihan raya.

Perhimpunan agung kali ini turut dikejutkan dengan penggantungan Naib Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz selama enam tahun keahlian kerana kesalahan memfitnah dan mengkritik presiden secara terbuka.

Tun Faisal adalah pegawai media kepada Tan Sri Annuar Musa yang merupakan menteri wilayah di dalam kerajaan PN.

Annuar pagi ini turut membuat hantaran di media sosial bahawa terdapat poster diedarkan pada perhimpunan tersebut yang menyatakan beliau merupakan budak suruhan Bersatu.

Sebelum ini Datuk Lokman Adam turut digantung keahlian kerana melakukan kesalahan yang sama.

Ramai yang melihat ini sebagai usaha UMNO untuk membersihkan parti itu daripada pengkhianat, walaupun ramai yang mempertikaikan mengapa hanya beberapa orang pemimpin sahaja dikenakan tidakan, sedangkan ramai lagi ketua bahagian yang turut melakukan kesalahan yang sama.

Zahid mengulas perkara itu apabila UMNO terlalu meraikan perbezaan pandangan ia telah meletakkan parti berkenaan pada kedudukan yang tidak stabil.

Sedang adalah penting UMNO untuk stabil kerana ia akan menjadi tonggak kepada kestabilan negara, kerana parti itu merupakan parti terbesar orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti negara ini.

 

 

 

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button