UMNO muktamad dokong PN, tiada kerjasama dengan DAP, PKR
UMNO muktamad dengan keputusannya sebelum ini iaitu untuk terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sekaligus menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.
Perkara itu diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dpengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah bermesyuarat selama empat jam malam tadi.
“Majlis Tertinggi UMNO mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP.
“Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional. UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan political consesus,” kata Ahmad Zahid.
Selan itu UMNO akan memastikan Muafakat Nasional iaitu kerjasama parti itu dengan Pas akan terus diperkasakan seperti yang telah ditetapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.
UMNO turut menyarankan agar inisiaif rekonsilasi nasional atau agenda perdamaian nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik dalam Kerajaan Perikatan Nasional dan parti pembangkang.
“Mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkai perbezaan ideologi parti dalam menangaani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah,” kata Ahmad Zahid.
Mesyuarat itu turut menjunjung kasih atas keputusan Yang di-Pertuan Agong yang telah menolak permohonan Kerajaan untuk melaksanakan darurat.
“Bagi UMNO ketputusan yang turut diperbincangkan dengan Majlis Raja-Raja tersebut adalah amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat.
“Mendokong sepenuhnya titah dan saranan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik dapat dipertahankan,” kata Ahmad Zahid.-SM