Belang Bertempat

UMNO menggelupur di dalam kubu sendiri

SELEPAS bangkit dari alam barzah selepas dikafankan pada pilihan raya lalu, UMNO berkelakuan sangat aneh. Hendak dikatakan manusia tidak, jembalang pun tidak.

Presidennya, Zahid Hamidi tidak mampu ditenangkan dengan “rukyah” telah menjadikan parti dan pilihan raya sebagai medan untuk membalas dendam.

Para pemimpin yang sudah bersedia untuk turun tangga, tetap ditolak tersungkur ke tanah.

Shahidan Kassim contohnya jika dibawa berbincang dengan baik pastinya beliau bersedia memberi laluan kepada wajah baru dan membantu memilih calon yang sesuai.

Bagaimanapun apabila beliau ditolak jatuh, ditendang begitu sahaja dia bangun melawan dan hampir pasti UMNO akan hilang kerusi Arau.

Annuar Musa dan Noh Omar walaupun kecewa dengan sikap Zahid mereka mengambil langkah untuk tetap bersama dengan UMNO.

Paling malang dalam situasi ini ialah Khairy Jamaluddin. Beliau diberi kerusi tetapi tempat maut atau lebih tepat dicampak ke kandang harimau untuk dibaham dan mati berlumuran darah.

Apabila diarah bertanding terpaksalah dia berjuang kerana demi maruah.

Belum cerita kawasan Padang Besar Zahida Zarik yang masih di dalam edah kematian suami pun turut dicalonkan.

Beliau tidak dapat turun ke lapangan untuk berkempen bagi menentang Zahidi Zainul Abidin, memang sangat berpengaruh di Padang Besar.

Banyak lagi UMNO bakal berkubur di kubu sendiri seperti di Gerik yang calonnya ditolak oleh bahagian. Pasir Salak juga bakal mengalami nasib yang sama.

Sekurang-kurangnya UMNO akan kehilangan sekitar 10 kerusi kerana percaturan yang salah atau sengaja dibuat sedemikian.

Mungkin ramai yang hairan bagaimana Zahid menguruskan parti secara semberono, tetapi masih mendapat sokongan akar umbi dan majlis kerja tertinggi.

Formulanya mudah sahaja pada pilihan raya lalu UMNO kalah teruk dan mereka ini dirangkul oleh Zahid dijadikan kesebelasan utama pasukannya pada masa yang sama mereka yang menang dicop sebagai pengkhianat kerana menerima jawatan menteri kabinet di dalam Perikatan Nasional.

Mereka dituduhkan tidak membantu parti, walau hakikatnya sebaliknya.

Saban hari tenaga dan wang ringgit dicurahkan demi kebangkitan UMNO, tetapi mereka dituduh pengkhianat.

Kesemua penyokong Ismail Sabri Yaakob dipancung oleh Zahid dan tidak terlepas Adham Baba yang sepatah tidak pernah menentang Zahid.

Kini Ismail Sabri tinggal keseorangan selaku poster boy.

Mereka yang kalah tentulah mahu diadakan pilihan raya segera dan inilah akibatnya.

Zahid pula sudah membuka buah kuntawnya dengan menyatakan jawatan perdana menteri adalah hak Yang di-Pertuan Agong, sedangkan sebelum ini nada Zahid berbeza bahawa Ismail Sabri ialah satu-satu nama yang akan dimajukan sebagai calon PM.

Terpecah pula rahsia, bahawa semua calon dikehendaki menyatakan baiah kepada Zahid dan dipaksa menandatangan surat perjanjian yang tebal di hadapan peguam, bahawa urusan calon PM dan sokongan diserahkan kepada parti.

Mereka yang melanggar perjanjian itu boleh diambil tindakan ganti rugi sivil.

Sudahlah senarai calon tidak dibawa berbincang dengan top 5 parti, kini nasib parti juga ditentukan oleh Zahid.

Memang difahami calon-calon sanggup melakukan apa sahaja untuk diusung sebagai calon. Kalah menang sudah jatuh nombor dua.

Zahid pula pastinya mahu menyelamatkan diri daripada disumbat ke dalam penjara jika didapati bersalah atas tuduhan kes rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Silapnya adalah apabila para pemimpin dan ahli UMNO membenarkan parti diurus oleh mereka yang terdesak dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.

Akhirnya parti diheret bersama-sama ke dalam masalah peribadi dan mengakibatkan kemelut berpanjangan.

Selepas pilihan raya Zahid perlu berdepan tiga lagi halangan iaitu pemilihan parti, kes mahkamah dan pemilihan presiden.

Ini akan menyebabkan UMNO berterusan terjebak di dalam kemelut dan ia bukan sesuatu yang aneh buat parti itu.

Sejak zaman Tunku Abdul Rahman lingkaran ganas itu tidak pernah reda dan terus menjadi sebahagian daripada asam garam parti terbesar orang Melayu itu.

Cuma kali ini seni politik Melayu sudah hilang. Annuar dan Noh disembelih seperti unta dalam keadaan berdiri, Khairy dicampak ke dalam gelanggang harimau untuk dibaham dan ramai lagi yang ditikam dan dibiar mati perlahan-lahan berdarah dan bisa keris menusuk ke jantung, sebagaimana dilalui oleh Hang Jebat.

Allah selamatkanlah bangsa Melayu Islam ini.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button