UMNO mahu letak calonnya di Titi Tinggi ganti MCA
MINAT UMNO Padang Besar dengan kerusi tradisi MCA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi akhirnya telah dinyatakan secara rasmi hari ini.
Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainal Abidin berkata, alasan UMNO meletakkan calonnya di kerusi tradisi MCA itu demi untuk mempertahankan lima DUN di Parlimen Padang Besar milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Zahidi berkata, pihaknya telah menyampaikan hasrat itu kepada MCA.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar di Dewan Seri Jernih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan di Bukit Ketri, Chuping, Perlis.
Tambahan pula katanya, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, calon MCA hanya mendapat kelebihan 145 undi.
“Dengan undi yang sedikit ini menunjukkan pengundi China di DUN Titi Tinggi sudah tidak berminat dengan MCA,” katanya.
Zahidi berkata, sebaiknya MCA dicadangkan memberikan tumpuan kepada DUN Indera Kayangan yang majoriti pengundinya adalah kaum China.
Sebelum ini Pengerusi MCA Negeri yang juga ADUN Titi Tinggi, Teh Chan Aan pernah berkata pihaknya akan mempertahankan kerusi Titi Tinggi dan Indera Kayangan.
Beliau berkata, kerusi tradisi MCA di Titi Tinggi itu juga kekal dengan rekod tanpa kalah dengan pembangkang.- SM