Politik

UMNO jangan jadi Utusan

HAKIKATNYA di luar sana ramai yang mahu melihat parti yang pernah beraja di hati rakyat iaitu UMNO berubah sebenar-benarnya.

Semua maklum akan besarnya jasa parti itu dalam pembentukan negara bangsa sejak dari kemerdekaan sehingga tertubuhnya Malaysia dan kini tinggal beberapa hari sebelum masuknya tahun 2020.

Namun ramai beranggapan bahawa UMNO masih ditakuk lama dan masih tidak berubah walaupun telah kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Yang berubah sekadar kerjasama dengan Pas sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional. Tetapi sikap dan kelaku UMNO itu sendiri masih tidak berubah.

Semua tahu bagaimana warlord begitu mencengkam dalam parti orang Melayu itu.

Dah berbuih orang bercakap bahawa UMNO sepatutnya dirangka semula untuk menarik minat dan sokongan orang ramai dan bukan berpaksikan kepada satu dua individu sahaja.

Dan pandangan ini turut dikongsi oleh seorang ahli UMNO, Zaidel Baharuddin yang sebelum ini banyak kali berkongsi di laman Facebook melalui tulisannya yang kritikal terhadap parti itu.

Jika kita bersifat melawan dan kritikal terhadap UMNO bukanlah bermaksud membenci tetapi kerana sayangkan parti itu dan mahukan ia kembali ke landasan sebenar sekali gus mampu kembali menawan lanskap politik negara pada pilihan raya akan datang.

Kali ini beliau menulis tentang UMNO dan Utusan Melayu, dua institusi keramat Melayu yang akhirnya tumbang berikutan keputusan rakyat yang mahu mengubah selera pada pilihan raya lalu.

Banyak yang boleh dipelajari dari kenapa Utusan Melayu boleh terlungkup akibat hanya mahu memenuhi nafsu serakah sama ada pihak atasan di editorial sendiri mahupun kepimpinan di dalam UMNO.

Berikut disiarkan penulisan oleh Zaidel Baharuddin tentang pandangannya mengenai Utusan Melayu dan UMNO.

1. Bermacam sebab mengapa Utusan gagal, ada yang kata bahawa orang sekarang memang tak beli surat khabar, Utusan terlalu lambat melonjak ke dunia digital.

2. Tapi saya kira sebab UTAMA mengapa Utusan itu gagal ialah kerana badan editorial dan wartawan menulis bukan untuk pembacaan orang ramai, tetapi cukup sekadar memuaskan hati satu dua individu.

3. Dari zaman PM ke empat ,lima dan yang sangat jelas waktu yang ke enam pemberitaan Utusan tidak dirangka untuk orang ramai tetapi ditulis berpaksikan Presiden dan kepimpinan tertinggi UMNO sahaja.

4. Maka apabila UMNO kehilangan kuasa, Utusan, setelah bertahun-tahun kehilangan kepercayaan orang ramai dan pembaca setia gagal untuk berdikari, walaupun Utusan mengubah diri menjadi akhbar digital yang tercanggih sekalipun,tanpa pengikut dan pembaca tetap Utusan itu akan terkubur.

5. UMNO selaku parti politik wajib belajar dari kesilapan ini.

6. Struktur UMNO sekarang di mana kuasa terlalu berpusatkan kepada Presiden dan ketua-ketua bahagian menyebabkan kos operasi UMNO sangat tinggi.

7. Fikir akal logik, mana mungkin yuran keahlian UMNO yang berjumlah RM 2 sahaja untuk seumur hidup boleh menampung aktiviti parti politik.

8. Ada yang kata “Ahh UMNO kan banyak aset dan perniagaan, ambillah saja dari situ”

9. Persoalannya siapa di sini yang tahu semua maklumat ini? Adakah ianya dibentangkan dalam perhimpunan agung atau sekadar menjadi rahsia keramat pemegang jawatan Presiden sahaja?

10. Apatah lagi kebanyakan aset perniagaan ini di bawah nama-nama proksi yang tidak dipilih secara demokrasi dan berselindung dengan penuh kerahsiaan.

11. Beban kewangan UMNO tidak boleh ditanggung oleh presiden dan sekumpulan individu kecil yang kaya sahaja, takut-takut apa jadi nanti semuanya habis tergadai dan terjual.

12. Patut UMNO memulakan Yuran Tahunan buat setiap ahli, contohnya RM 50 setahun.

13. RM 20 ke bahagian, RM 10 ke perhubungan negeri dan RM 20 ke pusat, barulah kita ada aliran tunai yang stabil.

14. Kalau betullah kita ada 3 juta ahli, setiap tahun UMNO Malaysia akan menerima pendapatan sebanyak RM 60 juta, hebat tu! Bahagian yang ada ramai ahli, lagi banyak duitnya pula, tak lah penat sangat Ketua Bahagian kan?

15. Tetapi dalam yuran keahlian itu haruslah diperkasakan erti menjadi ahli UMNO, wajar setiap ahli diberi hak untuk mengundi secara terus (macam pilihanraya), berhak hadir untuk ke mesyuarat bahagian secara automatik dan mempunyai hak-hak demokrasi yang dilindungi perlembagaan tanpa tekanan kepimpinan eksekutif.

16. Harus kita belajar dari Utusan Malaysia, UMNO sepatutnya dirangka semula untuk menarik minat dan sokongan orang ramai dan bukan berpaksikan kepada satu dua individu sahaja.

17. Bagi saya, jawatan itu bukan suatu institusi, jauh sekali indvidu, itu ialah pendapat dangkal yang dipenuhi dengan budaya keAmpuan, parti itu institusi, dan penjawat, biar tinggi mana sekalipun adalah pemegang amanah.

18. Nah kata nak berkorban untuk parti, apalah sangat belanja sekali setahun yuran keahlian yang lebih murah dari langganan Astro sebulan.

19. Saya yakin ramai boleh, tapi kenalah kita memberi makna dan erti kepada pemegang keahlian UMNO itu sendiri.

20. Kuasa untuk menentukan masa depan parti di tangan setiap ahli dan bukan pembesar di balik tabir.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button