UMNO bukan parti main-main
SUDAH banyak parti serpihan UMNO. Seingat saya yang besar Semangat 46 dan kini Bersatu.
Kedua-duanya terjadi kerana krisis politik yang dicipta oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semangat 46 ditubuhkan setelah Dr. Mahathir bergaduh berebut jawatan Presiden UMNO dengan Tengku Razaleigh Hamzah.
Pergaduhan itu menyebabkan UMNO diharamkan dan Dr. Mahathir telah menubuhkan UMNO baharu yang berada sehingga hari ini.
Tengku Razaleigh dan sekumpulan bekas pemimpin UMNO telah menubuhkan Semangat 46. Teruk juga orang Melayu bergaduh apabila Semangat 46 bergabung dengan Pas dan DAP menentang UMNO dan Barisan Nasional.
Tapi akhirnya Semangat 46 dibubarkan dan para pemimpinnya diterima kembali ke dalam UMNO. Sebahagian besar pemimpin ini jugalah yang menjadi tonggak Bersatu apabila Dr. Mahathir keluar UMNO dan menyertai parti serpihan itu.
Kini Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Presiden Bersatu membawa parti itu kembali bekerjasama dengan UMNO dan Pas di bawah Perikatan Nasional bersama-sama dengan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Apabila BN tumbang pada pilihan raya lalu pelbagai usaha dilakukan bagi melumpuhkan UMNO termasuk mengerat lidah utamanya iaitu Utusan yang dibankrapkan ketika akaun parti pula dibekukan.
Namun UMNO kini kembali bangkit di dalam Perikatan Nasional (PN). Kekuatan UMNO yang bakal menyambut ulang tahun ke-74 sebenarnya terletak kepada para pemimpinnya dan ahli yang tidak pernah mengalah.
Sebagaimana yang pernah diceritakan kisah pokok kelapa oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa pokok kelapa yang paling tinggi memang sering disambar petir.
Begitulah nasib parti terbesar orang Melayu itu dan pastinya sasaran utamanya adalah para pemimpinnya.
Bagaimanapun sokongan orang Melayu tidak pernah surut, bahkan keyakinan terhadap UMNO semakin meningkat ketika tersungkur akibat kalah pada pilihan raya.
Parti Bersatu yang cuba mengambil alih peranan UMNO gagal dengan teruk kerana mereka sendiri tidak mampu melepaskan diri daripada belenggu DAP yang paling dominan di dalam Pakatan Harapan (PH).
DAP pula bijak menggunakan Melayu yang lemah jiwa bangsanya untuk menganut fahaman hak asasi kemanusiaan bagi menyerang kembali kaum sendiri yang dikatakan rasis. Tapi mereka tetap gagal.
UMNO menjadi parti keramat kerana ia terlalu banyak berjasa kepada orang Melayu dan negara ini.
Dari berjuang memastikan kemerdekaan negara hinggalah pembinaan dan membangunkan negara ini.
Belum ada parti yang mampu berbuat sedemikian. DAP pula yang bertopeng demokrasi lebih mengutamakan kaum Cina berbanding kaum lain.
Walaupun mereka cuba mengikis imej para pemimpin yang mempunyai kaitan dengan pergerakan Komunis dan mengamalkan politik perkauman ternyata ia terlalu sukar.
Saya hampir terlupa satu lagi parti serpihan UMNO iaitu PKR yang pada asalnya ditubuhkan bagi memperjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berpunca daripada krisis politik terbitan Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir sendiri menjadi perdana menteri selama 22 tahun ketika di dalam UMNO, tetapi apabila keluar UMNO beliau hanya mampu bertahan kira-kira 22 bulan sahaja dengan jawatan itu sebelum digulingkan dan kini anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga berdepan nasib yang sama.
Dr. Mahathir juga berkuasa dan disanjung kerana beliau bersama-sama dengan UMNO.
Jadi memang jelas tiada pemimpin yang lebih besar daripada UMNO. Ahli UMNO memang hanya sekitar 3 juta orang, tetapi mereka yang bersimpati dengan menyokong perjuangan UMNO adalah besar jumlahnya dan itu tidak boleh dinafikan.
Simpati itu wujud kerana jasa yang telah ditabur oleh para pemimpin UMNO tidak kira sebesar-besar di peringkat kebangsaan atau pemimpin kecil di kampung-kampung. – SM