Politik
UMNO akan letak calon di PRK DUN Nenggiri
UMNO akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan susulan kekosongan luar jangka kerusi tersebut.
Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bekas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah bagi PRK tersebut manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan UMNO dan Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan dilantik sebagai pengarah operasi PRK berkenaan.
“Lepas ini, kita akan ke Gua Musang untuk tolong calon kita. Insya-Allah, kalau kita bekerja keras, kerja ikhlas, Allah akan beri kemenangan kepada kita.
“Mudah-mudahan kombinasi ini (Tengku Razaleigh dan Ahmad Jazlan) dapat beri kemenangan kepada kita. UMNO Pahang wajib bantu calon kita di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.