UMNO akan kerjasama dengan Anwar?
SAYA sebenarnya bimbang untuk menulis artikel ini, kerana nanti dituduh menjadi agen kepada tentera siber pembangkang.
Ingin saya jelaskan Suara Merdeka sebuah portal berita yang ditubuhkan oleh bekas wartawan Utusan Malaysia. Dan kami mempunyai fahaman politik yang berbeza.
Kami tidak pernah mengongkong rakan-rakan untuk menulis mengikut fahaman masing-masing kerana matlamat kami adalah untuk menyiarkan pandangan yang berbeza dari perspektif berbeza.
Fokus Suara Merdeka adalah kepada politik Melayu termasuklah yang membabitkan pihak pembangkang, dan sudah tentulah di pihak kerajaan dilebihkan kerajaan mereka adalah pemegang amanah rakyat.
Daripada maklumat yang saya kumpul orang UMNO sudah berpatah arang dan berkerat rotan dengan parti serpihan mereka iaitu Bersatu.
Kita kena faham apa erti berpatah arang berkerat rotan ini. Ia bermakna mereka tidak mahu lagi sebarang kerjasama walaupun sekelumit dengan Bersatu yang sering menindas dan menikam UMNO dari belakang.
Mengapa ahli akar umbi UMNO tolak kerjasama dengan Bersatu?
Ahli UMNO sedar Bersatu hanya menunggang parti itu setelah menyedari mereka sudah kehilangan sokongan setelah tewas tujuh kali pada pilihan raya kecil.
Oleh itu pada Januari 2020 mereka menjadi UMNO sebagai talian hayat politik.
Kerjasama Bersatu dengan Pakatan Harapan (PH) ternyata telah gagal dan yang paling memalukan semasa pilihan raya kecil Tanjung Piai.
Sokongan orang Melayu telah kembali kepada Barisan Nasional (BN) apabila calon MCA telah menang besar di Tanjung Piai, sedangkan Bersatu meletakkan calon Melayu.
Bersatu tahu PH tidak akan mampu memenangi pilihan raya ke-15 dengan prestasi buruk kerajaan PH terutama dalam menunaikan janji semasa pilihan raya umum lalu.
Ahli-ahli UMNO juga menolak pengkhianatan ahli parlimen dari UMNO yang melompat ke Bersatu dan pilihan raya umum adalah medan untuk mereka membalas dendam dan menghukum pemimpin berkenaan.
Kemungkinan besar mereka jika bertanding akan dimalukan dengan kehilangan wang pertaruhan, walaupun dikubu kuat masing-masing.
Lebih menyakitkan hati para pemimpin dilabel sebagai katak dan pengkhianat ini tetap mahu bertanding di kerusi yang dimenangi di atas tiket UMNO. Ini bermakna kerusi UMNO akan berkurangan.
Bersatu juga sengaja membeku aset UMNO dan akaun UMNO sehingga ke hari ini menyebabkan parti itu sukar bergerak.
Oleh itu ahli-ahli UMNO telah memutuskan biarlah bertanding sendirian, walaupun kalah.
Ahli UMNO pula tidak lagi takut kalah selepas telah melalui zaman getir kalah pada pilihan raya umum lalu.
Banyak langkah telah diambil bagi memastikan parti itu tidak lagi terjerumus ke dalam kegawatan apabila tewas dan kehilangan kerajaan sekali lagi.
Jadi siapakah rakan sekutu yang paling sesuai untuk UMNO pada pilihan raya kali ini?
Beberapa pemimpin UMNO menyatakan kemungkinan besar parti itu akan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.
Menurut mereka jika kerjasama dengan PKR dijalinkan ia adalah jelas, terutama soal pembahagian kerusi.
Jadi tidak akan timbul pertikaian sebagaimana kerjasama dengan Pas dan Bersatu.
Melihatkan senario itu dijangka akan ada tiga blok pada pilihan raya depan iaitu UMNO-PKR, Pas-Bersatu dan DAP-Amanah.
Selepas pilihan raya blok satu kemungkinan besar akan bergabung dengan blok ketiga bagi membentuk kerajaan yang kukuh.
Dengan majoriti besar kerajaan dibentuk tidak boleh digugat dengan tindakan melompat ahli parlimen dan kerajaan akan lebih stabil, kecuali pecah kongsi berlaku sekali lagi.