Agama

Umat Islam harus terus bersatu pertahan kepentingan bersama – Pemangku Raja Perlis

Umat Islam di seluruh dunia perlu terus bersatu dalam mempertahankan kepentingan bersama dan ia merupakan sesuatu yang ‘makruf’ sebagaimana yang dituntut oleh agama.

Salah satu aspek yang menunjukkan elemen perpaduan adalah kesanggupan untuk melakukan pengorbanan dengan mengutamakan kepentingan ramai berbanding kepentingan peribadi.

Demikian dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan menyerahkan Sumbangan Ibnu Sabil MAIPs kepada Pejabat Lembaga Tabung Haji Jeddah.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman di Hotel Rayhan Rotana Mekah, Arab Saudi sebelum Baginda berangkat meninggalkan kota Mekah baru-baru ini.

Baginda diiringi sama Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut menghantar pulang rombongan haji Baginda adalah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Dr. Mohd Rozaimi Ramli dan Pengarah Urusan Kumpulan Al-Khairi, Datuk Seri Mohd Khairi Datuk Mat Jahya.

Pada kesempatan yang sama Pemangku Raja Perlis juga menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh jemaah haji yang berjaya menunaikan haji dengan lengkap, yang mana pada masa ini ramai jemaah haji yang telah mula bergerak pulang ke negara masing-masing termasuk sebahagian jemaah haji Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berdoa agar segala amal ibadah diterima oleh Allah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button