NasionalNegeri

Umat Islam di Perlis disaran sumbang wakaf tunai MAIPs

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengajak umat Islam di negeri ini bersama-sama untuk menyumbangkan wakaf tunai melalui badan ini untuk manfaat ummah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah, sumbangan melalui MAIPs ini akan disalurkan kepada aktiviti berkaitan wakaf.

“Ia melibatkan Wakaf Tunai Manfaat Am, Wakaf al-Quran atau Kitab, Wakaf Pembinaan dan Penyelenggaraan Masjid serta Surau, Wakaf Penyelenggaraan Tanah Perkuburan Islam, Wakaf Pusat Autisme Negeri Perlis, Wakaf Pendidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Wakaf Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dan Wakaf Pendidikan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs),” titah Baginda.

 

Wakaf tunai MAIPs boleh disalurkan melalui Bank Islam di nombor akaun 09010010063983 atau di mana-mana tabung dan juga kaunter Wakaf MAIPs.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf.

Asnaf yang terpilih dalam kariah Masjid Al Islah, Kampung Ngulang ini akan menerima RM700 seorang apabila diagihkan oleh amilnya, Abdul Rahman Dahalan.

Penyerahan tersebut diadakan di Teratak Teduhan Doa di Kampung Bilal Udoh, Bukit Keteri dan turut dihadiri sama oleh Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Pada aturcara lain, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menerima sembah mengadap pengurusan tertinggi rangkaian kedai kopi premium, ‘Richiamo Coffee’ di Galeri DiRaja Arau yang diketuai Pengarah Urusannya Muhd Zamry Abu Samah.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarahnya, Wan Najib Wan Daud dan juga rakan kongsi Richiamo di kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, Borhan Abu Samah.

Kini sudah terdapat tiga outlets Richiamo Coffee di Perlis iaitu di dalam kampus UiTM Perlis di Arau, Kangar Jaya dan juga di kampus UniMAP di Pauh Putra. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button