BeritaNasionalPendidikan

UKR UniMAP harumkan nama di pentas antarabangsa

KANGAR – Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengharumkan nama IPTA ke-17 negara berkenaan di persada antarabangsa.

Terkini ialah persembahan penuh bertenaga mereka di Shanghai, China minggu lalu di majlis pelancaran promosi ‘Tahun Melawat Malaysia 2020 Peringkat Shanghai’ yang juga dikenali sebagai ‘Malaysia Cultural Day’ yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

Para tetamu ke majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Tourism Malaysia di Shanghai dengan kerjasama Tuniu.Com, Crystal Plaza, ASEAN People’s Association Los Angeles dan Singpoli Investment Bank Limited tersebut turut dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional lagu ‘Ayam Didik’ dan ‘Joget Serampang Pantai’.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda Perlis disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai Hew Tse Hou dan Pemangku Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Shanghai, Mohd Ashrul Ashraf Hj Mohd Noor Puasa.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Datuk Rashidi Hasbullah serta Pengarah Urusan Singpoli Asia, Datuk Nellsen Young.

UKR UniMAP turut membuat persembahan di majlis pelancaran ‘Promosi Masakan Perlis’ yang diadakan bersempena majlis pembukaan rasmi sebuah restoran halal diberi nama ‘Secret Flavour Restaurant’, Tingkat 5 – Lane 308 Crystal Plaza, Yao Ti Road, Pudong New Area, Shanghai milik Sharizan Mohd Rafi Kannan yang berasal dari Kuala Selangor dan Alice Zhang pada jumaat malam.

Promosi makanan Perlis selama dua minggu tersebut dianjurkan restoran halal itu dengan kerjasama Pejabat Tourism Malaysia di Shanghai, ASEAN People’s Association Los Angeles, Singpoli Asia, MyUSA Venture Partners Sdn Bhd, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Kumpulan UKR UniMAP seramai lapan orang peserta pada kali ini diketuai oleh Ketua Unit Kebudayaan dan Rekreasinya, Mashitoh Abu dan Ahmad Syauqi Amar Muhammad.

Setiap persembahan membawa mesej dan misi tersurat dan tersirat bagi memperkenal dan mengharumkan lagi UniMAP dan juga nama negeri Perlis serta Malaysia.

Untuk rekod, sebelum ini UKR UniMAP turut pernah membuat persembahan di Guanghzhou (China), Rome (Itali), Shenzhen (China), Seoul (Korea Selatan) dan Abu Dhabi (Emiriah Arab Bersatu – UAE).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button