Nasional

Ukhuwah islamiah perlu dipupuk dari kecil – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa teras kekuatan umat Islam yang utama adalah berpaksikan semangat ukhuwah Islamiah yang dipupuk sedari kecil.

Menurut baginda, ukhuwah itu merangkumi perasaan kasih sayang dan cinta sesama umat Islam yang mewujudkan rasa untuk saling membantu, menasihati, memperingati dan bersikap tolak ansur, bermaaf-maafan sesama saudara serta sikap ingin saling berjaya.

Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan CSR DZ Bikers Malaysia berupa makanan mentah yang disumbangkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk sebanyak 250 buah keluarga di Thamalang Hulu dan Thamalang Hilir, Wilayah Satun, Thailand di Jeti Kastam Kuala Perlis pada petang semalam.

Penyerahan sumbangan ini turut mendapat kerjasama daripada pihak syarikat HPA, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri.

Mengiringi baginda adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Koordinator Malaysia bagi Jaringan MAIPs dan Majlis Agama Islam (MAI) 6 Wilayah Andaman Thailand, Datuk Zul Aznam Haron.

Hadir menerima sumbangan berkenaan adalah Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisatepan yang merupakan koordinator Thailand bagi Jaringan MAIPs dan MAI 6 Wilayah Andaman yang sejurus kembali di sana terus mengagihkan sumbangan tersebut kepada golongan asnaf memerlukan khususnya dari kalangan tua.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah bahawa ikatan persaudaraan sesama Muslim juga seumpama sebuah ’bangunan’ yang saling menyokong antara satu sama lain bagi memastikan kekuatan ’bangunan’ itu terus terpelihara. Begitu juga diibaratkan silaturahim sesama Muslim yang harus dipelihara supaya dapat menguatkan perpaduan umat Islam.

Baginda juga berharap agar segala agenda pembangunan Ummah di Perlis dan di 6 Wilayah Andaman, Thailand dapat terus dilaksanakan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button