UiTM anjur program kayuhan prihatin
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis Kampus Arau akan menganjurkan Kayuhan UiTM Prihatin pada jumaat 28 Jun 2024 petang di sekitar Arau.
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dijadualkan berangkat bagi mengetuai kayuhan amal ini yang bertujuan untuk menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada para pelajar UiTM Kampus Arau.
Kayuhan ini adalah sebahagian daripada Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan sempena Sambutan 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti bermula pada 20 Jun sehingga Ogos 2024.
Majlis pada hari tersebut juga akan dimeriahkan lagi dengan sesi pemanasan badan dan senamrobik, ‘Fun Run’ 5-kilometer serta beberapa aktiviti lain yang akan turut disertai Pengurusan Kanan Universiti berkenaan.
Demikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Maghfirah, Pauh Sanglang baru-baru ini.
Majlis sumbangan ini bertujuan untuk menyalurkan bantuan kewangan secara tunai kepada asnaf-asnaf yang terpilih di negeri ini yang merupakan usaha pihak MAIPs bagi meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 70 penerima daripada kalangan anak Kariah Pauh Sanglang dan 70 penerima lagi dari anak Kariah Simpang Sanglang.
Setiap penerima menerima wang tunai RM700 dengan jumlah penuh diagihkan kali ini sebanyak RM98,000, saringan kesihatan secara percuma oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan ceramah dari MAIPs yang bertema “Bangun Jiwa Asnaf”.