Tunjuk jari tengah: Pembangkang mahu tonton CCTV
AHLI Parlimen Kota Melaka (DAP) Khoo Poay Tiong mengesa Yang Dipertua Dewan Rakya Datuk Azhar Azizan Harun membenarkannya menonton rakaman CCTV Dewan Rakyat.
Gesaan itu dibuat selepas Azhar menjelaskan beliau tidak melihat Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi, Willie Mongin, menunjukkan isyarat ‘jari tengah’ seperti yang didakwa ahli Parlimen Pembangkang.
Azhar berkata, beliau menonton CCTV Dewan Rakyat dan tidak ada visual yang menunjukkan Willie menunjukkan jari tengah selepas beliau menggulung peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2021) peringkat kementeriannya petang semalam.
“YB Kota Melaka semalam saya belum membuat apa-apa ruling saya kurang pasti apa yang terjadi. Jujur saya tidak nampak apa yang terjadi. Saya ada masalah penglihatan minggu ini.
“Setelah mendengar penjelasan beliau itu. Malam tadi saya minta penjelasan yang selanjutnya daripada YB Timbalan Menteri. Beliau menafikan sekeras-kerasnya berbuat begitu.
“Kemudian saya telah lihat video itu banyak kali malah secara slow motion saya tidak dapat pastikan sama ada ianya berlaku atau tidak,” jelas Azhar.
Justeru beliau meminta ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan penjelasannya untuk menulis usul.
Poay Tiong bagaimanapun tidak berpuas hati dengan penjelasan Azhar dan meminta agar beliau diberi kebenaran melihat sendiri visual CCTV dalam Dewan Rakyat.
“Kalau ada masa saya boleh pergi ke pejabat pengerusi untuk tunjukkan video yang amat terang yang dia memang tunjuk jari tengah,” kata Poay Tiong.
Azhar membenarkan Ahli Parlimen DAP itu hadir ke pejabatnya untuk menonton sendiri rakaman video dalam Dewan Rakyat bagi membuktikan dakwaannya itu.
Selepas saya habis mempengerusikan ini sila datang ke pejabat saya. Kota Melaka terima kasih kerana mahu datang ke office saya. Saya akan berjumpa dengan YB Melaka,” kata Azhar.
Dewan Rakyat pada sesi petang semalam kecoh seketika gara-gara ahli Parlimen pembangkang mendakwa Willie Mongin menunjukkan isyarat ‘jari tengah’.
Berikutan itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun mengambil tindakan ke atas Willie, sambil menambah perbuatan tersebut turut disaksikan oleh 10 ahli Parlimen pembangkang.
Bagaimanapun, Willie menafikan dia ada melakukan perbuatan berkenaan dan mendakwa ia disalah anggap oleh pembangkang.
“Saya tegaskan ia tidak benar dan mungkin mereka tersalah nampak, saya tidak menunjukkan jari tengah.
“Tetapi jika mereka beranggapan sedemikian, saya rela meminta maaf,” katanya.-SM