Politik

Tun Mahathir dakwa akar umbi Bersatu beralih ke Pejuang

AKAR umbi beberapa Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa beralih sokongannya kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dakwaan demikian dibuat susulan terdapat laporan mengatakan beberapa Bahagian parti itu dikatakan terbubar akibat hilang sokongan.

“Datang Pejuang. Bersatu hilang akar umbi. Banyak pemimpin tapi kurang yang hendak dipimpin. Jadi parti kosong. Akar umbi pindah ke Pejuang.”

Demikian kata bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Perdana Menteri 22 tahun dan 22 bulan itu, keadaan itu dikatakan membimbangi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengekalkan kedudukannya.

Ini kerana menurut Dr. Mahathir, Bersatu semakin goyah kerana kekurangan sokongan di peringkat akar umbi.

Tambahan pula, sokongan dalam Dewan Rakyat semakin pudar apabila lima Ahli Parlimen daripada UMNO dikatakan bakal hilang kelayakan.

Kata bekas Pengerusi Pakatan Harapan itu, salah seorang daripadanya adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudahpun disabitkan kesalahan di mahkamah.

“Tetapi masih ada lima orang UMNO yang mungkin didapati bersalah (seorang telah didapati bersalah tetapi menunggu proses rayuan) dan tidak boleh kekal sebagai wakil rakyat.

“Jika mereka kehilangan kedudukan sebagai wakil rakyat, Bersatu dan PN (Perikatan Nasional) akan jatuh.

“Untuk elak dari ini berlaku, Perdana Menteri perlu cari ganti.

“Maka Bersatu pun gugur kedudukan sebagai parti Pribumi dan membuka keahlian kepada semua kaum. Kekalkah nama PPBM.

“Ini kali keempat Bersatu mungkir janji,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan maruah Bersatu apabila mengambil keputusan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Hal demikian juga dilihat beliau sebagai satu tindakan terdesak oleh Muhyiddin bagi mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Sekarang Bersatu membuat keputusan untuk gabung dengan Muafakat.

“Tetapi Muafakat adalah gabungan parti Melayu Islam. Bersatu parti berbilang kaum dan agama. Apa jadi kepada Muafakat. Masih Melayu Islamkah?

“UMNO pula dikatakan pecah tiga. Ada bahagian yang tidak setuju Bersatu masuk Muafakat, ada yang setuju.

“Demikian juga dengan PAS. Ada yang bersetuju, ada yang tidak,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button