PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memintanya untuk memecat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.
Perkara tersebut didedahkan oleh Naib Presiden PKR merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Menurut Zuraida, beliau bagaimanapun tidak yakin dengan dakwaan tersebut.
“(Jumpa Anwar) beberapa bulan lalu. Dia kata video itu memang (Mohamed) Azmin, polis kata Azmin. Saya kata kalau (benar) (Mohamed) Azmin, biarlah polis siasat dan (Mohamed) Azmin kena terima kalau (video tersebut) betul.
“Anwar kata dia (Mohamed Azmin) macam adiknya dan kasihan kepadanya. Jadi saya kata kalau kasihan, tolonglah dia.
“Lepas itu dia kata Mahathir suruh (Anwar) pecat (Mohamed) Azmin. Tapi kalau (benar) suruh pecat, kenapa Mahathir keluarkan empat kenyataan (Mohamed Azmin) tak perlu cuti,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 penyokong Mohamed Azmin dalam satu majlis di Kuala Lumpur malam tadi.
Zuraida merujuk kepada isu penularan video seks membabitkan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz bersama seorang lelaki mirip Mohamed Azmin April lalu.
Program dinamakan Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 itu turut dihadiri pemimpin yang menyokong Mohamed Azmin termasuk Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat antaranya Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Kamaruddin Jaafar dan Amiruddin Shari.
Sementara itu, Tian Chua dalam ucapannya menggesa PKR kembali kepada perjuangan asas.
Katanya, beliau menyertai PKR bukan untuk mengangkat sesiapa menjadi Perdana Menteri sebaliknya menjatuhkan kerajaan yang ‘zalim’.
“Jadi bila saya lihat apa yang terjadi hari ini, mereka yang tidak mahu angkat plakad ‘Anwar Perdana Menteri kelapan’ dianggap pengkhianat. Ini bukan matlamat kita.
“Saya sertai reformasi bukan untuk angkat sesiapa jadi Perdana Menteri, tetapi untuk jatuhkan Perdana Menteri yang zalim,” katanya.