Politik

Tun M tidak bertanding PRN, tetapi sokong gerakan Melayu

Tempelak UMNO anjur kongres ekonomi Melayu

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Sebaliknya, beliau memberi jaminan akan terus aktif memberi sokongan kepada gerakan orang Melayu yang ingin mendapatkan hak mereka di negara ini.

“Tidak, saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini, tetapi saya akan aktif menyokong gerakan Melayu yang mahukan hak mereka di negara ini. Mereka takut negara ini menjadi negara orang lain dan tidak menjadi Tanah Melayu.

“Tetapi jadi negara pelbagai bangsa dan semua orang boleh meminggirkan Melayu dan orang Melayu akan terus jadi miskin dan miskin. Itu objektif saya, bukan untuk jadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Mengenai pertemuan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pergerakan Proklamasi Orang Melayu, ujar ahli politik berusia 97 tahun itu, beliau ingin bertemu dengan Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Saya memang nak bertemu dengan dia untuk menerangkan mengenai orang Melayu keseluruhannya dan bukan untuk menyokong sesiapa.

“Orang Melayu melihat mereka sudah hilang hak mereka di negara mereka sendiri, dan mereka akan terus terkesan kalau tidak mentadbir negara ini,” tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Proklamasi Orang Melayu Selangor di Sepang pada Rabu.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir menyatakan pendirian untuk bertemu dengan Muhyiddin dengan misi kembali bekerjasama sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat sama.

Dalam pada itu Dr Mahathir menempelak tindakan UMNO yang mahu mengadakan Kongres Ekonomi Melayu ketika pihaknya berusaha menjayakan gerakan Proklamasi Orang Melayu (POM).

Bekas Perdana Menteri itu secara sinis berkata, walaupun hasrat dan tindakan parti berkenaan dilihat mahu memperkasakan Melayu, namun duit dan sogokan untuk mendapatkan sokongan pengundi masih menjadi keutamaan.

“Banyak yang curi duit, mereka guna duit untuk dapat sokongan. Sebab itu dalam pilihan raya mereka perlukan duit yang banyak (untuk) beli bendera, buat sepanduk dan sebagainya serta nak sogok pengundi.

“Sebab itu kalau mereka berjaya tarik sokongan orang Melayu dan jadi kerajaan sekali lagi, duit kita akan hilang,” katanya.

Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan Pemuda dan Puteri UMNO akan lebih bermakna berbanding POM yang diterajui Mahathir.

Ahmad Zahid berkata, ini kerana Mahathir sudah diberi peluang sebelum ini, namun tidak memanfaatkan sepenuhnya untuk membina ekonomi Melayu malah mengeluh dengan situasi kaum itu apabila tidak lagi menerajui negara.

Kongres Ekonomi Melayu merupakan antara tujuh agenda yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 untuk dilaksanakan parti berkenaan.

Artikel berkaitan > Mahathir jumpa Muhyiddin selepas Aidiladha bincang Proklamasi Orang Melayu

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button