Komentar
JANGAN ada had atau kekangan untuk melihat kejayaan penyatuan Melayu-Islam terlaksana.
Selaku orang yang kaya pengalaman dan masak sepak terajang politik, alangkah elok kiranya Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menggerakkan iniasiatif penyatuan Melayu sejajar dengan penguasaan dalam segala sumbernya.
Tun! kita orang Melayu sudah tidak ada apapun di `Tanah Melayu’ Malaysia ini. Ekonomi sudah dikuasai kaum Cina. Pendidikan? Mereka juga. Kekayaan? Kita maklum kaum Cina lah jua.
Yang kita orang Melayu ada kini, itupun `sekelumit’ yang tinggal hanyalah kuasa politik. Dan berdikit-dikit pula dirampas pihak sebelah sana.
Cuba orang Melayu bayangkan, alangkah indahnya Dr. Mahathir boleh duduk semeja memuktamadkan penyatuan Melayu bersama pemimpin-pemimpin utama Melayu yang lain khususnya Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin-pemimpin kanan Melayu dari UMNO, Pas dan NGO yang lain.
Selami ungkapan keramat cendekiawan yang juga bekas pemimpin Pas, Dr. Burhanuddin Al-Hilmi yang sewajarnya menjadi panduan anak bangsa mengenang kejatuhan empayar Melayu Islam Melaka kira-kira 500 tahun lalu di tangan Portugis (1511).
“Di atas robohan kota Melaka, mari kita bangunkan jiwa merdeka…”
Setelah berlalu lima kurun, nah lihatlah apa yang terjadi pada penyatuan orang Melayu hari ini? Adakah kebarangkalian terbentuk coalition baharu berdasarkan teras Melayu-Islam dan bumiputera?
Kita orang Melayu tentu sekali berharap pemimpin-pemimpin Melayu berlapang dada dan berjiwa besar demi masa depan anak bangsa seperti mana dilafazkan oleh Allahyarham Dr. Burhanuddin.
Ketepikanlah perbezaan pendapat. Letakkan kepentingan Islam dan Melayu atas segala-galanya.
Suara Merdeka cukup yakin Dr. Mahathir pun sudah nampak apa yang berlaku kebelakangan ini yang terbukti `belang’ pihak di sana. Apabila sudah mendapat sedikit kuasa dengan jawatan enam menteri, ketara sungguh `lagu’ parti terbabit.
Persoalan dan kebimbangan ini dibangkitkan bukan masalahnya kita orang Melayu rasis. Tetapi semua ini diperjuangkan demi menjaga hak-hak dan kepentingan Melayu-Islam dan bumiputera.
Tidak mahulah apa yang berlaku di Singapura berulang di negara ini.
Lihatlah Geylang Serai yang dahulunya merupakan kampung Melayu kini menjadi pusat tarikan pelancongan yang hanya mempamerkan rumah-rumah tradisional orang Melayu. Nilai orang Melayu di republik itu bertukar dari penduduk asal kepada etnik y ‘eksotik’.
Orang Melayu lama pasti tidak lupa dengan kampung Melayu yang sudah pupus seperti Kampung Glam. Selepas kemenangan PAP (People’s Action Party) diketuai Lee Kuan Yew pada tahun 1959, Housing Development Board (HDB) yang diperkenalkannya setahun kemudian benar-benar mengubah polisi perumahan di Singapura.
Hasilnya kini kebanyakan kawasan perumahan terancang di negara itu didiami lebih 80 peratus orang Cina. Selebihnya kaum Melayu dan India.
Di Amerika Syarikat, kaum asalnya, Red Indian apa sudah jadi? Takkanlah bila nasi sudah jadi bubur, baru tersedar dari lena. Abaikankanlah DAP, Parti Amanah Negara dan sebilangan mereka dalam PKR sebab kita sudah tahu mereka siapa?
Perkembangan mutakhir ini dalam politik negara dalam setahun tujuh bulan ini sejak 9 Mei 2018 yang menimpa nasib orang Melayu seolah-olah menjadi `api dalam sekam’ yang berisiko sebagai `bom jangka’ jika tidak dikekang. Tidak perlu menjadi duri dalam daging terhadap masa depan Melayu.
Daripada Dr. Mahathir menjadikan DAP sebagai rakan kongsinya, mengapa tidak dibuang dendam terhadap pemimpin-pemimpin UMNO/Pas, dengan duduk semeja bersama pemimpin-pemimpin parti Melayu yang lain.
Sebagai kompromi untuk transisi sementara (peralihan kepimpinan), barangkali Tengku Razaleigh Hamzah boleh bertindak sebagai caretaker memandangkan
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu diterima banyak pihak.
Kalau boleh kita tidak mahu melihat hanya UMNO dan Pas menandatangani piagam muafakat pada 14 September depan.
Mana kelibat yang lain? Bukankah indah sekali ia disertai Parti Bersatu selain Parti Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)?
– SUARA MERDEKA