Politik

Tun M cadang tubuh parti AAD kayakan orang Melayu belum dapat

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bercadang untuk menubuhkan sebuah parti baru bernama Apa Aku Dapat atau AAD.

Dr. Mahathir yang pernah menjadi presiden parti UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Pengerusi Bersatu itu berkata, banyak orang Melayu suka untuk menubuhkan parti baru.

Ujarnya, beliau sendiri pernah menubuhkan parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu yang kini sudah berpecah dua.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi tersebut, parti Apa Aku Dapat itu ditubuhkan dengan tujuan hanyalah untuk memperkaya orang Melayu yang belum mendapat apa-apa.

Dr. Mahathir berkata, cara untuk memperkayakan orang Melayu dalam parti Apa Aku Dapat tersebut ialah dengan melantik mereka sebagai pegawai dalam badan-badan yang akan ditubuhkan.

Badan itu khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang lumayan kepada mereka yang belum mendapat apa-apa dan yang ingin dapat banyak lagi.

“Nama parti ini ialah Parti AAD atau Parti Apa Aku Dapat. Tujuan: Memperkaya orang Melayu yang belum dapat.

“Jemputan: Siapa yang belum dapat boleh buat permohonan untuk jadi ahli, atau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan lain-lain. Yuran: Tidak perlu.,” kata Dr. Mahathir dalam coretan ringkas di Facebooknya pagi ini.

Tulisan itu dipercayai menyindir beberapa pihak yang dahulunya menyokong Pakatan Harapan kini beralih kepada Perikatan Nasional.

BACA Tun M panggil kerajaan PN sebagai ‘kerajaan Muhyiddin’

Dr. Mahathir yang pernah dua kali menjadi Perdana Menteri Malaysia itu sejak kebelakangan ini menghalakan serangan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan gabungan parti pemerintah Perikatan Nasional.

Tebaharu beliau menggelarkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai ‘kerajaan Muhyiddin’.

Menurut Dr. Mahathir beliau terpaksa berbuat demikian kerana parti Perikatan Nasional tidak wujud.

Perikatan Nasional juga menurut Dr. Mahatir tidak pernah mengadakan majlis pelancaran dan tidak didaftar ketika Muhyiddin mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri.

“Saya terpaksa panggil kerajaan pimpinan Muhyiddin ini sebagai kerajaan Muhyiddin. Ramai yang panggil kerajaan ini kerajaan Perikatan Nasional.

“Rakan dalam perikatan ini isytihar mereka bukan anggota dalam kononnya gabungan parti Perikatan Nasional.

“Mereka hanya benar ahli mereka sokong Muhyiddin supaya hasrat Muhyiddin untuk menjatuhkan Pakatan Harapan tercapai. Mereka tentukan jumlah wakil rakyat yang sokong Muhyiddin mencukupi,” kata Dr. Mahathir dalam  blognya.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button