fbpx
Jenayah

Ketum: Polis tahan empat lelaki di Kulim

POLIS menahan empat lelaki selepas didapati memiliki, memproses serta menjual air ketum dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kampung Sidam Kanan, Padang Serai dekat Kulim, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Safuan Md Noor berkata dalam tangkapan pertama pada 2 petang itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim melakukan serbuan di sebuah stor kosong dan menahan seorang lelaki berumur 45 tahun.

“Semasa serbuan, suspek yang bekerja sebagai buruh sedang memproses daun ketum untuk dijadikan air.

“Kita rampas satu baldi yang mengandungi 20 bungkus plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum serta satu guni berisi daun ketum seberat tiga kilogram (kg),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, pada masa sama, dua lelaki berumur 27 dan 52 tahun ditahan dalam sebuah rumah di kampung itu, setelah polis menjumpai satu periuk besar di atas tempat memasak yang mengandungi bahan rebusan disyaki daun ketum yang dianggar seberat 20 kg.

“Turut dijumpai di belakang rumah berkenaan ialah satu tong ais yang berisi 70 bungkus plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum serta tiga bungkus plastik hitam yang mengandungi daun ketum seberat 15 kg.


“Dalam tangkapan ketiga pada 5.30 petang, seorang lelaki berusia 29 tahun yang sedang berjalan di tepi jalan di kampung itu bersama dua guni putih berisi daun ketum seberat 15 kg telah ditahan,” katanya.

Safuan berkata kesemua suspek yang negatif dadah itu telah dibawa ke IPD Kulim dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button