Politik

Tun Faisal pertikai mengapa Bendahari terlibat semasa buat keputusan

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz mempertikaikan kehadiran Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika keputusan penggantungan keahliannya dibuat.

Selain jawatan di dalam parti tidak berkaitan dengan pertuduhan dihadapinya, beliau berkata,Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya itu adalah pihak berkepentingan kerana membuat aduan mengenai dirinya dan tidak seharusnya berada pada mesyuarat itu.

“Ini sebagai inisiatif supaya mereka semua diberi peluang membaca hujah pembelaan berkaitan dakwaan bahawa saya memfitnah dan mengkritik Presiden secara terbuka.

“Bagi yang sudah memberikan maklum balas, saya juga tanyakan kepada mereka bukankah sepatutnya ketika hendak membuat keputusan mengenai diri saya, pihak yang membuat aduan iaitu Tengku Adnan perlu keluar kerana dia adalah pihak berkepentingan,” katanya dalam status dimuat naik pada laman Facebook, baru-baru ini.

Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, digantung keahlian UMNO selama enam tahun, malah semua manfaat sebagai ahli UMNO juga dilucutkan secara sementara sepanjang tempoh itu,

Pada 19 Februari lalu beliau diminta mengemukakan surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO, susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Arahan untuk menghadiri tribunal pada 25 Februari lalu, bagi menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya, dimaklumkan menerusi panggilan telefon dan WhatsApp oleh Sekretariat Lembaga Disiplin UMNO.

Tun Faisal sebelum itu mendakwa Ahmad Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti selepas gerakan untuk membawa UMNO menyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, gagal beberapa kali.

MKT UMNO sebelum ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP, selain terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), tetapi hanya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Tun Faisal mendakwa, ahli MKT diberi gambaran salah mengenai kes dirinya dan tidak diberikan maklumat yang secukupnya sebelum mengesahkan keputusan Lembaga Disiplin.

“Saya dimaklumkan, seorang ahli MKT juga mengelirukan mesyuarat dengan mendakwa ini konflik dalaman UMNO Bahagian Putrajaya dan dengan itu, ramai mengambil pendirian untuk tidak mahu masuk campur,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button