
Tun Abdullah tinggalkan jasa besar kepada negara – Sanusi
Kerajaan Negeri Kedah menzahirkan rasa dukacita dan berkongsi kesedihan atas pemergian mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi ke rahmatullah, semalam.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, negara kehilangan seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada tanah air, khususnya dalam aspek pembangunan modal insan.
“Sepanjang tempoh beliau menerajui kerajaan bermula 31 Oktober 2003 hingga 2 April 2009, banyak legasi hasil usaha Allahyarham yang meninggalkan kesan besar kepada negara hingga ke hari ini.
“Antaranya, pembangunan ekonomi yang difokuskan mengikut koridor wilayah, termasuk Koridor Pembangunan Ekonomi Utara (NCER) yang merangkumi negeri Kedah dan masih giat dilaksanakan sehingga kini,” kata beliau pada kenyataan, di sini.
Tambah Sanusi, Allahyarham Tun Abdullah turut dikenang atas keprihatinannya terhadap bidang pendidikan Islam.
Di mana ujarnya, di era pentadbiran beliau, program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab, Fardu Ain) diperkenalkan dalam sistem pembelajaran di sekolah-sekolah.
Selain itu tegasnya, Allahyarham juga juga dikenali atas usaha memajukan industri halal, mengamalkan dasar kepimpinan yang terbuka
Termasuk kata beliau, memperkasa seni budaya kebangsaan khususnya dalam memperkenalkan batik sebagai salah satu warisan budaya negara.
“Adalah menjadi harapan kita semua agar segala jasa bakti beliau kepada rakyat dan negara dikira sebagai amal jariah yang berterusan pahalanya di sisi Allah SWT.
“Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah buat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman,” kata Sanusi.