Khloe Kardashian selamat jalani pembedahan tumor di muka
BINTANG realiti terkenal, Khloe Kardashian mendedahkan selamat menjalani pembedahan membuang tumor di wajahnya, baru-baru ini.
Memetik laporan New York Post, selebriti berusia 38 tahun itu mengambil keputusan mendedahkan perkara sebenar selepas berdepan dengan banyak soalan bertanyakan mengenai balutan di wajahnya.
“Saya dihujani soalan mengenai sesuatu yang berbeza pada wajah saya sejak kebelakangan ini. Ramai yang bertanya kenapa saya memakai pembalut di wajah.
“Ada sesuatu yang tidak kena selepas menyedari satu benjolan kecil tumbuh di wajah saya. Saya fikir ia benjolan biasa dan ternyata saya salah. Selepas melakukan ujian biopsi, doktor mengesahkan ia bukan benjolan biasa,” tulisya sambil berkongsi gambar ketumbuhan pada wajah di Instagramnya.
Akui ibu kepada True Thompson ini, benjolan kecil yang tumbuh di wajahnya harus dibuang segera selepas dua pakar dermatologi mengesahkan ia adalah tumor.
“Dua doktor mengesahkan kes ini dikategorikan sangat jarang berlaku bagi seseorang lingkungan usia saya.
“Beberapa hari kemudian saya diberitahu perlu menjalani pembedahan segera untuk membuang tumor,” tulisnya selamat menjalani pembedahan yang dilakukan pakar bedah yang merupakan doktor yang menjadi sebahagian dari keluarga Kardashian.
Dalam pada itu, Khloe memaklumkan bersyukur dapat mengesan masalah penyakit tumor dari awal dan dia kini dalam proses untuk sembuh.
Sementara itu, Khloe sempat berpesan kepada pengikutnya untuk sentiasa memantau tahap kesihatan membuat pemeriksaan lebih kerap. – SM