Acara

Anwar ucap terima kasih kepada Thailand majukan projek di sempadan

BANGKOK – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Thailand atas komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan memajukan projek di sempadan.

Anwar yang memulakan lawatan kerja dua hari ke Thailand hari ini turut menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra terhadap layanan mesra dan mesyuarat dua hala yang telah diatur.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Thailand atas dedikasinya untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan projek di sempadan. Projek-projek ini telah lama wujud, dan di bawah kepimpinan anda, ia dapat direalisasikan,” katanya sebagai membalas ucapan alu-aluan Paetongtarn sebaik tiba di Government House di sini, lapor Bernama.

Anwar tiba di Government House di sini pada 1.50 petang (waktu tempatan) dengan disambut oleh Paetongtarn.

Anwar kemudian mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala, dengan anggota delegasinya termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin; dan Duta Khas ASEAN ke Myanmar Tan Sri Othman Hashim.Sementara itu di pihak Thailand pula, Paetongtarn disertai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan Suriya Juangroongruangkit, serta Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa dalam mesyuarat itu.

Usai mesyuarat dua hala itu, kedua-dua Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perjanjian Pembinaan (CA) bagi Projek Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok oleh Nanta dan Suriya.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Paetongtarn turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Anwar atas lawatan itu, yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala antara Thailand dan Malaysia.

“Kami akan terus bekerjasama dan membantu antara satu sama lain dalam pelbagai isu yang memberi kesan kepada dunia hari ini,” katanya.

Ini lawatan kedua Anwar ke Thailand sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022, selepas lawatan sulungnya pada 2023, yang menyaksikan beliau menemui Perdana Menteri Thailand ketika itu Jeneral Prayut Chan-o-cha.

Menurut Kementerian Luar Malaysia, pada 2024 Thailand adalah rakan perdagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan nilai dagangan ASD25.03 bilion (RM114.56 bilion).

Antara Januari dan Februari 2025, perdagangan dua hala kedua-dua negara mencecah ASD3.96 bilion (RM17.65 bilion) berbanding ASD3.67 bilion (RM16.80 bilion) bagi tempoh sama pada 2024.

Sementara itu dalam hantaran ke media sosialnya, Anwar zahirkan penghargaan kepada PM Ing Shinawatra atas komitmen memperkukuh hubungan antara dua negara.

Saya menghargai kesediaan Kerajaan Thailand untuk meneruskan kemajuan terhadap kesepakatan sedia ada, yang menyentuh usaha memperkasa ekonomi di wilayah utara Malaysia dan selatan Thailand.

Thailand kini merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan mencecah lebih AS$25 bilion pada tahun lalu. Insya-Allah, pelaksanaan projek-projek strategik ini berpotensi menyumbang kepada lonjakan nilai dagangan dua hala mencecah AS$30 bilion menjelang 2027.

Justeru, beliau dan PM Paetongtarn sepakat untuk menyegerakan pelaksanaan projek-projek utama termasuk pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang-Sungai Golok dan projek tebatan banjir di Sungai Golok.

“Alhamdulillah, pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang-Sungai Golok mencapai kemajuan penting tatkala kami menyaksikan detik bersejarah permeteraian perjanjian pembinaan jambatan persahabatan ini.

“Perjanjian ini ditandatangani Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mewakili Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit.

“Kami juga sempat menyentuh isu tarif Amerika Syarikat (AS), dan mengulangi komitmen untuk mendepaninya secara kolektif di peringkat ASEAN menerusi pendekatan rundingan yang adil dan mampan,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button