Tuduhan Zawawi sangat melampau – Tuan Ibrahim
MELAKA 21 Mac – Keceluparan mulut Ketua UMNO Bahagian Pasir Putih, Datuk Zawawi Othman sewaktu membahaskan
ucapan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 berakhir Sabtu lalu, apabila menyifatkan Pas ada tiga
‘jahanam’ yang menjadi punca penyatuan kedua-dua parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) gagal kurang
disenangi pemimpin dah ahli parti itu.
Beliau menamakan tiga mereka iaitu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang termasuk Naib Presiden Datuk
Mohd. Amar Abdullah dan Ketua Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor dalam ucapan
perbahasan tersebut.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan rasa kesal dan menyangkal kenyataan
Zawawi itu menyifatkan PAS ada tiga ‘jahanam’ yang menjadi punca UMNO tidak dapat bekerjasama dengan parti
itu.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh Zawawi sewaktu perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat
Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu dilihat sebagai melampau dan tidak menghormati hak parti-parti lain.
“Saya menolak kenyataan tersebut (Zawawi) kerana kenyataan itu sangat melampau. Pas menghormati hak parti-parti politik.
“Sepatutnya sebagai budaya orang Melayu kita tidak boleh label atau bagi istilah yang terlampau terhadap pemimpin Pas.
“Itu hak Pas! Jangan ada parti lain cuba nak campur dan tak perlulah letak label yang begitu yang saya rasa tidak manis kerana itu bukan budaya kita orang Melayu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim ditanya mengenai kecaman dibuat oleh Zawawi Othman baru-baru yang menganggap UMNO tidak boleh
bekerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional selagi ada “tiga jahanam” yang memimpin parti itu.
Mengulas lanjut beliau berkata, telahan itu tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya pemimpin UMNO itu tidak mencampuri urusan parti lain.
Menyentuh mengenai MN katanya, setakat ini tidak ada sebarang perkembangan terkini dan turut mengesahkan MN masih belum dibubarkan atau ditamatkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, baik UMNO atau pun Pas belum membuat sebarang keputusan sama ada ingin meneruskan hubungan dalam
MN atau sebaliknya. -SM