Nasional

Tubuh RCI siasat kartel daging disambut baik

ISU halal terutama membabitkan masalah import daging menggunakan logo halal palsu adalah isu sensitif kepada umat Islam.

Oleh demikian, cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dilihat antara jalan terbaik bagi menyiasat isu berkenaan.

Malah, penubuhan jawatankuasa yang mengintegrasikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri juga disambut baik.

“Selain itu, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal adalah langkah terbaik yang telah dipersetujui bersama.

“Semoga hasrat yang murni ini dipermudahkan Allah SWT demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.”

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam satu kenyataan menyambut baik saranan penubuhan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal di bawah KPDNHEP.

Tambah beliau, berhubung isu kartel daging logo halal palsu itu, pendakwaan dimaklum akan berlangsung esok terhadap sebuah syarikat pengimport daging kerana menggunakan logo halal palsu.

Malah, semua daging terbabit dirampas dan disita dengan aset syarikat bernilait lebih RM1 juta dibekukan.

Zulkifli bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa kartel daging haram berada di pasaran selama 40 tahun.

Sebaliknya menyatakan, syarikat tersebut berdaftar pada tahun 2014 dan mendapat permit import pada tahun 2017.

Dalam pada itu, Zulkifli memaklumkan pemantauan berkala diadakan oleh pihaknya dan Jakim ke AlHilal Food Processing Sdn Bhd, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan HS Nada Sdn Bhd semalam dan hari ini.

“Usaha ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pensijilan halal produkproduk daging yang dihasilkan di dalam negara adalah di tahap yang terbaik.

“Bagi produk daging import, Jakim akan terus menggiatkan usaha dan penambahbaikan bagi memastikan Badan Pensijilan Halal Luar negara mematuhi semua standard yang telah ditetapkan,” katanya.

Terdahulu akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times (NST) melaporkan kewujudan penggunaan logo halal palsu terhadap daging import.

Malah terdapat juga dakwaan mengatakan daging yang diisytihar sebagai daging lembu dan halal itu dikatakan sebenarnya adalah daripada daging kanggaru dan kuda.

Selain itu, kegiatan kartel itu juga didakwa melakukan proses pembungkusan semula dengan bungkusan bercetak logo halal di sebuah gudan di Senai, Johor selepas diseludup dari Argentina, Brazil, China dan Ukraine. – SM

P/s : Suara Merdeka adalah sebuah portal yang bergerak atas inisiatif wartawan yang kehilangan pekerjaan. Sekiranya pihak pembaca berkesudian untuk membantu perjuangan kami, sila klik link ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button