Politik

Tubuh Mageran atasi krisis Covid-19, ancaman keselamatan

YANG di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dirayu supaya mewujudkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) bagi menangani krisis di negara ini.

Rayuan itu dibuat berikutan wujud kebimbangan terhadap kes baharu pandemik Koronavirus (Covid-19) yang kembali tinggi dan ditambah pula dengan ancaman keselamatan dari Israel.

Cadangan mewujudkan Mageran itu juga dikatakan perlu selepas berlaku ketidaktentuan dalam politik negara apabila Parlimen masih lagi tidak dipanggil untuk bersidang bagi membincangkan penyelesaian polemik krisis kesihatan.

Dengan penubuhan Mageran juga, struktur perundangan dan dasar negara juga dapat diperbaiki kekurangan dan ditambah baik, sesuai dengan keperluan semasa.

“Sudah tiba masa semua pemimpin masyarakat sama ada pemimpin parti, organisasi bukan kerajaan (NGO) atau apa jua organisasi bersatu hati demi kembalikan kesejahteraan negara.

“Rakyat semakin gelisah dengan ancaman Covid-19 dengan kes meningkat setiap hari yang gagal dikawal yang diyakini berpunca dari PRN Negeri Sabah pada 2020 dan kebenaran masuk warga luar ke dalam negara sama ada secara rasmi atau tidak, berkemungkinan menjadi pembawa virus.

“Tak cukup ancaman Korea Utara kini Israel pula membuat ancaman. Perdana Menteri dan kabinetnya ternyata gagal menghindar ketakutan dan rasa cemas rakyat yang makin menebal setiap hari.”

Demikian kenyataan Ketua Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, yang melihat keperluan pembubaran kerajaan dan menggesa penguatkuasaan Mageran.

Kebelakangan ini, negara mengalami peningkatan ketara jangkitan Covid-19 apabila kes harian terus mencatatkan ribuan angka.

Semalam sebanyak 4,446 kes baharu direkodkan, hari ini  pula 4,865 jangkitan baharu dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 8.6 peratus.

Daripada angka itu, Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi iaitu 1,650 kes semalam dan 1,743 iaitu meningkat sebanyak 5.3 peratus.

Dalam pada itu, Nasrul Ali Hasan turut menggesa semua pemimpin berlapang dada untuk membenarkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu membentuk Mageran.

Kerana, kemaslahatan negara yang melibatkan kepentingan dan keselamatan rakyat perlu diberi keutamaan.

“Sebagai pemimpin yang berjiwa besar, keutamaan menjaga kepentingan negara dan rakyat adalah nilai wajib tersemai dalam jiwa setiap pemimpin.

“Ia adalah satu nilai yang melebihi segala agenda peribadi dan kepentingan politik mahupun kepentingan organisasi.

“Jangan sekadar melihat untuk menyelesaikan masalah pada masa ini sahaja, negara perlu ditinggalkan dengan baik dan sejahtera bagi generasi akan datang,” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button