NasionalNegeri

Tuah 19 graduan POLIMAS, tamat kursus “diikat” syarikat

SANGAT jarang berlaku, inilah yang dikatakan berkongsi rezeki bersama.

Kisah ini berkaitan dengan 19 graduan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah sememangnya sangat unik.

Mana tidaknya segerombolan graduan ini pada mulanya menjalani kursus selama seminggu dengan sebuah syarikat.

Sebaik tamat kursus, kesemua mereka “diikat” oleh syarikat berkenaan dengan tawaran gaji permulaan RM1,800 sebulan.

Perkara ini didedahkan oleh Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud semasa merasmikan majlis penutupan program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) – (Career Advancement Programme) atau Program Penjana KPT-CAP di CG Global Profastek Sdn. Bhd., Seberang Perai, Pulau Pinang baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Urusan CG Global Profastek Manufacturing Sdn. Bhd.,
Siti Padilah Abdul Wahab dan Penasihat Pembangunan Perniagaan dan Korporatnya, Henry Ng.

Beliau berkata, kesemua yang terlibat ini adalah graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Kejuruteraan Elektronik (Perhubungan).

“Graduan ini dipilih untuk menjalani latihan selama seminggu sebagai satu inisiatif bagi meningkatkan nilai tambah dan kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menepati kehendak industri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, POLIMAS bekerjasama dengan CG Global Profastex Sdn. Bhd. bagi membolehkan graduannya menjalani latihan kompetensi dalam bidang E & E Manufacturing Services.

Katanya, POLIMAS juga salah satu daripada Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh negara yang dipilih sebagai penganjur bagi mengendalikan program Penjana KPT-CAP.

“Tujuan utama program Penjana KPT-CAP adalah memastikan graduan Politeknik dan Kolej Komuniti mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya.

Kamaludin berkata, sebenarnya tempoh belajar berbanding dengan semasa latihan dan tempoh berkerjaya adalah berlainan kerana persekitarannya adalah berbeza.

“Saya yakin CG Global Profastex Sdn. Bhd. akan membantu graduan semua bagi mendapatkan kemahiran dan pengetahuan serta lebih fokus di atas kehendak industri,” katanya.

Beliau berkata, graduan pula perlu membantu diri sendiri iaitu memberi perkhidmatan yang terbaik dimana tempat kita ditawarkan bekerja.

Kamaludin juga merakamkan jutaan terima kasih kepada KRC Electronic yang telah berjaya melatih pelajar-pelajar POLIMAS dalam tempoh seminggu untuk mendapat kemahiran dalam bidang berkenaan bagi melayakkan graduan sehingga diterima bekerja.

Sementara itu, Muhammad Alim Firdaus Badrul Zaman selaku wakil peserta Program Penjana KPT-CAP dalam ucapannya pada majlis penutup berkenaan berkata, beliau dan rakan-rakan peserta seramai 19 orang sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengikuti kursus Program Penjana KPT-CAP: Electronic Components And Boards Fault Finding Testing Trouble Shooting And Maintenance.

“Ini kerana kami semua dapat menimba ilmu baharu secara teori dan praktikal yang dikendali oleh KRC Electronic,” katanya.

Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada CG Global Profastex Sdn. Bhd yang berbesar hati menawarkan pekerjaan kepada semua peserta dengan gaji permulaan RM1800.

Menurut beliau lagi, ini menunjukkan bahawa graduan TVET semakin diterima dipasaran kerana mempunyai gabungan kemahiran dan pengetahuan yang memboleh mereka bekerja dengan profesional menurut kehendak industri. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button