Trio boling padang negara menyumbang pingat perak tunduk kepada England dalam pertarungan akhir acara triples wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Victoria Park, Leamington Spa, semalam.
Gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad memberikan tentangan sengit namun terpaksa akur kepada kehebatan tuan rumah yang dibarisi Jamie Lea Winch, Natalie Chestney, Sian Honnor.
Trio boling negara terpaksa tunduk apabila tewas 9-17 dalam aksi final yang penuh mendebarkan itu.
Itu merupakan pingat perak ketiga disumbang oleh atlet negara yang sebelum ini diraih oleh Muhammad Erry Hidayat menerusi acara angkat berat 73 kilogram (kg) dan pasukan ping pong wanita.
Pencapaian trio negara itu sekali gus menyaksikan skuad boling padang negara setakat ini meraih satu pingat perak dan satu gangsa.
Dalam pada itu khabar gembira buat dua beregu skuasy wanita negara apabila melakar sejarah mara ke separuh akhir menerusi gandingan Rachel Arnold-Aifa Azman dan Ainaa Amani Ampandi-Chan Yiwen.
Rachel-Aifa selaku pilihan ke-5/8 mengejutkan pilihan ke-3/4 dari Australia, Rachael Grinham-Donna Lobban 11-9, 4-11, 11-10 dalam aksi sengit di Universiti Birmingham yang berlangsung selama 43 minit.
Buat Ainaa- Yiwen lebih membanggakan apabila melakar kejutan menumbangkan juara dunia di Glasgow, Scotland, Joshna Chinappa-Dipika Pallikal Karthik dari India menerusi kemenangan mudah 11-2 dan 11-7.
Dalam aksi separuh akhir hari ini Rachel-Aifa akan berdepan pilihan kedua, Sarah-Jane Perry-Alison Waters dari England manakala Ainaa-Yiwen berdepan tugas getir Joelle King-Amanda Landers-Murphy dari New Zealand yang juga penyandang pingat emas di Gold Coast 2018.
Sementara itu skuad gimnastik berirama (gimrama) negara gagal meneruskan buruan pingat pada hari kedua berturut-turut acara berkenaan diadakan semalam.
Gandingan Izzah Amzan dan Ng Joe Ee terlepas pingat gangsa selepas menduduki tempat keempat dalam acara berpasukan malah lebih mengecewakan apabila mereka juga turut gagal dalam saingan akhir acara individu all-round di Arena Birmingham.
Izzah gimnas berusia 21 tahun itu hampir menggondol pingat gangsa selepas hanya menduduki tempat keempat dengan pungutan 108.300 mata diikuti Joe Ee,16, dengan 108.200 mata.
Dia yang menganggotai skuad gimnas negara meraih pingat perak pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia, bagaimanapun akan tampil dalam aparatus gelung dan belantan pada hari terakhir acara gimrama hari ini. – SM