Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan memperkenalkan perkhidmatan trem sebagai satu lagi kemudahan pengangkutan awam di Putrajaya.
Perkhidmatan trem itu bakal menghubung stesen MRT di Putrajaya dengan beberapa destinasi strategik di pusat pertadbiran kerajaan persekutuan untuk tujuan memudahkan pergerakan orang ramai selain kemudahan bas perantara sekarang.
Buat permula PPj dan Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan tempoh percubaan operasi Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) atau trem tanpa landasan itu, bermula 13 Mei hingga 31 Julai ini.
Sekiranya projek perintis itu berjalan lancar perkhidmatan trem itu dijangka bermula akhir tahun ini.
Memetik Astro Awani, Jurutera di Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan Bahagian Trafik Dan Pengangkutan Awam PPj, Muhammad Masrizal Saad berkata, dua laluan diperkenalkan sempena tempoh percubaan.
Katanya, laluan pertama yang akan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat manakala laluan kedua beroperasi pada Sabtu dan Ahad sahaja.
“Laluan 1 akan bermula dari Stesen MRT Putrajaya Sentral, melalui destinasi pentadbiran kerajaan di Presint 2, 3 dan 4, manakala laluan 2 pula adalah dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke IOI City Mall,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
ART menggunakan teknologi oleh CRRC, anak syarikat China iaitu syarikat pengeluar utama sistem dan komponen rel di dunia.
Menurut Muhammad Masrizal, trem berkenaan yang tidak bergantung kepada bahan api itu boleh menampung sehingga 239 penumpang pada waktu biasa dan sebanyak 307 orang pada waktu puncak.
“Tiada bayaran akan dikenakan kepada penumpang ketika tempoh percubaan ini dan orang awam yang ingin mencuba pengalaman menaiki ART hanya perlu menggunakan aplikasi melalui kod QR yang disediakan di stesen mengambil penumpang,” katanya. – SM