Alam Sekitar

Transformasi minda, sikap ke arah kelestarian – Raja Muda Perlis

Bertepatan dengan tema Hari Bumi Sedunia pada tahun 2021 ini iaitu ”Pulihkan Bumi Kita”, program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar hendaklah terus dirancang dan dimantapkan lagi di negeri Perlis sebagai inisiatif transformasi minda dan sikap ke arah kelestarian alam sekitar.

Untuk mencapai tujuan tersebut, semua anggota masyarakat dipohon supaya memberikan komitmen penuh di samping agensi-agensi berwajib pula berganding bahu dan terus menerus menyedia dan memantapkan lagi pelbagai program alam sekitar di negeri ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program ‘MAIPs Peduli Bilangan ke 25 bagi tahun 2021’ yang bermula dan berakhir di foyer Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar.

Sempena program tersebut sebanyak tiga buah rumah asnaf terpilih disantuni bagi menyampaikan bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs pada kali ini.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Azman Shah Ismail memaklumkan bahawa pelbagai aktiviti diaturkan sempena sambutan tersebut di seluruh negeri ini. Namun begitu pada tahun ini, beberapa program khusus akan turut dilaksanakan di Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis melalui kerjasama strategik jabatan beliau dengan Majlis Agama Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan pejabat Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis.

Antaranya ialah dengan menyediakan mini landskap beserta papan tanda berinformasi yang telah dipasang berhampiran Anjung Persinggahan Diraja yang menerangkan kepentingan pengurusan buangan elektrik dan elektronik, menghindari pembakaran terbuka dan cara-cara bagi melupuskan sisa domestik dengan baik.

Kempen khusus bagi mengumpulkan buangan elektrik, elektronik dan kitar semula barangan terpakai telah diadakan pada setiap hari rabu dan sabtu terakhir setiap bulan sejak pelancarannya di Masjid Abu Bakar As-Siddiq pada 9 April 2021 dan kutipan sisa buangan elektrik yang terkumpul di kawasan tersebut sehingga kini sudahpun mencecah sebanyak 451.2kg.

Jabatan Alam Sekitar Negeri juga turut membantu promosi dengan mengedar risalah kepada komuniti setempat dan   kedai-kedai mengenai ‘Kempen Hindari Plastik Sekali Guna’ yang telah dilaksanakan sejak tahun 2018 lagi. Usaha ini juga diteruskan melalui kempen Hari Sabtu Tanpa Beg Plastik selain menggalakkan semua pengusaha kedai agar tidak lagi membekalkan beg plastik sekali guna dan juga polisterin tetapi menukarkan kepada penjualan beg yang boleh dikitar semula sebagai ganti kepada penggunaan beg plastik sekali guna sepertimana yang sering diingatkan oleh Tuanku Raja Muda.

Tambah Azman Shah lagi, bersempena Hari Bumi Sedunia pada kali ini, Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis juga turut mengadakan aktiviti penghasilan bebola lumpur semalam dimana ia merupakan usaha bagi meningkatkan lagi kualiti air sungai di Kuala Perlis. Aktiviti  ini turut mendapat kerjasama pihak Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.

Untuk rekod, Hari Bumi Sedunia merupakan sebuah acara tahunan yang disambut pada 22 April dan telah berkembang menjadi sebuah acara sivik terbesar di dunia yang disambut oleh satu bilion manusia di lebih dari 190 buah negara.

Negara-negara paling bersih di dunia termasuklah Switzerland, Perancis dan juga Denmark seperti yang ditentukan oleh Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) dan mempunyai kualiti udara yang tinggi, air yang bersih serta dasar dan inisiatif yang mesra alam yang wajar dicontohi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button