Nasional

Transformasi guru berdaya tahan tinggi, penerapan pelajar 3A, pacu pendidikan masa hadapan

MENGGALAS kepentingan sebagai pusat pengajian tinggi pendidikan serantau, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) menganjurkan Persidangan Antarabangsa UPSI-UPI bermula 14 hingga 16 Mac 2023 di sini.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff persidangan tersebut melibatkan seramai 279 delegasi daripada
Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan China yang berkongsi idea, penyelidikan serta amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) abad ini.

Beliau berkata pendidikan masa akan datang merangkumi kualiti pendidikan, inklusif dan kesamarataan, pembelajaran sepanjang hayat, literasi digital, pemikiran kritis dalam penyelesaian masalah, kreativiti dan inovasi serta kemampanan pembangunan.

Md Amin sedang menyampaikan ucaptama Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

“Guru-guru yang dilahirkan pada hari ini perlu dipersiapkan dengan segala keperluan semasa yang berdaya tahan, mampu menembusi pelbagai cabaran dengan sentiasa meningkatkan pembelajaran kendiri, kecerdasan emosi, tanggungjawab, kreatif dalam PdP,” jelasnya ketika menyampaikan ucaptama di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini hari ini.

Menurut Md Amin, untuk menghasilkan pelajar yang holistik, UPSI mengambil inisiatif untuk menerapkan konsep 3A iaitu akademik, akhlak dan adab, resiliensi, membina karakter pelajar, meraikan kegagalan dan kejayaan serta amanah dalam diri setiap bakal guru.

Related Articles

“Peranan guru hari ini sangat penting kerana jika gagalnya guru membentuk seorang pelajar, maka musnahlah generasi seterusnya.”

Kerjaya guru pada hari ini, katanya, ini bukan semata-mata sebuah kerjaya yang terjamin, sebaliknya sebuah amanah yang memerlukan komitmen tinggi kepada masyarakat bagi pemupukan sahsiah untuk pendidikan masa hadapan,” jelasnya lanjut.

Rektor UPI, Profesor Dr H. M. Solehuddin dalam ucapatamanya berkata transformasi pendidikan perlu mengambil kira perubahan peranan guru daripada bertindak sebagai penyampai ilmu, kepada seorang mentor, fasilitator, pembakar semangat dan pencetus imaginasi pelajar dalam proses Pdp.

Menurut beliau begitu juga peranan pelajar tidak seharusnya hanya menerima ilmu, tetapi menjadi pencipta ilmu, diberi kebebasan dan masa untuk memperoleh ilmu serta kepakaran dalam pembelajaran kendiri menggunakan teknologi.

Katanya lagi, guru dan pelajar memerlukan kemahiran fleksibiliti dalam menghadapi cabaran era teknologi agar memastikan proses PdP dijalankan secara berkesan.

Sebahagian delegasi Persidangan Antarabangsa UPSI-UPI yang hadir pada 14 hingga 16 Mac 2023 di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, Tanjong Malim.

Justeru, aspek pembentukan sahsiah pelajar memerlukan guru untuk membimbing pelajar untuk berasa, berfikir, bersosial dan bertindak agar kesemua deria dirangsang dan digunakan dalam proses PdP.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Profesor Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim selaku pengerusi persidangan amat menghargai penyertaan yang menggalakkan terutama delegasi dari luar negara.

“Persidangan ini menyediakan platform kolaborasi dan kerjasama daripada pelbagai pihak selain perkongsian akademia dan pelajar, sekali gus akan dapat membuahkan idea dan kesepakatan dalam membentuk diri bakal guru,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button