Tragedi bot memancing terbalik di 10 batu nautika Jeti Pengkalan Kuala Kemasin
4 maut, 4 hilang masih dicari dalam SAR, 12 terselamat
KAPASITI atau muatan sebuah bot memancing boleh memuatkan 20 orang termasuk tekong dan awak-awak? Apakah bot yang digunakan itu berada dalam kondisi terbaik dan disediakan jaket keselamatan untuk setiap penumpang?
Segala kelengkapan yang perlu ada di atas sebuah bot, tidak kiralah sama ada bot itu ialah bot nelayan atau pun bot memancing, perlu ada kerana malang tidak berbau.
Itulah yang berlaku ke atas 20 orang pemancing termasuk tekong bot dan awak-awaknya sekali apabila bot yang dinaiki, terbalik selepas dibadai ribut.
Kejadian berlaku malam tadi, radius lokasi kejadian 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan.
Keseronokan 20 orang pemancing yang mengimpikan, menangkap ikan sambil mencandat sotong bertukar menjadi satu mimpi ngeri dan bagi mereka yang terselamat, itu menjadi satu igauan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mohamad Piah berkata kepada pemberita, dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, empat daripada mereka ditemukan lemas.
“Empat lagi masih hilang manakala 12 pemancing lagi disahkan selamat dan kesemua mereka yang terbabit dalam insiden bot terbalik ini berusia antara 18 sehingga 60 tahun,” kata Abdullah.
Mereka yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd. Syahrizan Daud, berumur dalam lingkungan 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an.
Manakala empat yang masih hilang adalah Arman Ismail, 43, Harun Daud, 60-an, Syafiq Abdul Halim, 30, dan Che Wadi Bakar, 40-an, kata Abdullah.
Katanya lagi, bot nelayan yang dinaiki pemancing itu dilaporkan telah dibadai ribut dan ombak kuat menyebabkan tali sauh terputus dan bot tersebut terbalik menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke dalam laut.
Dalam kejadian itu, ujar Abdullah pada sidang akhbar awal pagi ini di Jeti Pengkalan Kuala Kemasin, individu yang terselamat telah dibantu oleh rakan-rakan mereka daripada bot yang lain termasuk nelayan, sementara empat mangsa lemas pula ditemukan di sekitar lokasi kejadian.
Abdullah berkata, empat mangsa lemas dan 12 yang terselamat dalam tragedi bot terbalik ini telah dibawa ke jeti oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot nelayan lain pada kira-kira pukul 2.15 pagi tadi.
“Kesemua mayat dan yang terselamat ini dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk bedah siasat dan rawatan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dan akan dibantu agensi lain pada lewat pagi nanti,” katanya.
Abdullah turut memberitahu, 14 orang daripada pemancing itu berasal dari Kampung Padang Tok La, Pasir Mas, Kelantan.
“Dan enam orang lagi merupakan tekong dan awak-awak yang bertolak ke perairan itu dari Kuala Besar, Kota Bharu pada 3 petang semalam.
“Mereka turut disertai beberapa lagi rakan yang belum dikenal pasti, telah menaiki bot yang lain dan mula memancing sebelum ribut melanda,” kata Abdullah.
Sementara itu, keluarga salah seorang mangsa yang masih hilang, Mohd. Rowi Hussin, 50, mengharapkan agar bapa saudaranya, Harun Daud dapat ditemui segera.
“Apa pun kami reda dengan ketentuan Ilahi. Saya mendapat panggilan daripada pihak polis pada kira-kira pukul 11 malam dan terus gegas ke sini untuk mengetahui perkembangan,” katanya kepada BERNAMA.
Beliau berkata, kesemua pemancing telah berkumpul di rumahnya sebelum bertolak ke Kuala Besar pada sebelah pagi semalam dan melihat mereka begitu gembira untuk pergi memancing ikan dan sotong.
Katanya kali terakhir beliau mengikuti perkembangan mereka di atas bot adalah melalui rakaman video yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp pada sebelah tengah hari. – SM