Tok Mat pemimpin UMNO pertama meroyan, apa permainannya?
AGAK pelik apabila Datuk Seri Mohamad Hasan meroyan mahukan pilihan raya umum diadakan segera, tidak kira UMNO menang atau kalah pada pilihan raya negeri Johor kelak.
Namun jika dilihat lebih dalam kita akan faham mengapa senario itu berlaku. Beliau atau lebih dikenali sebagai Tok Mat mungkin satu-satunya pemimpin atasan UMNO yang tidak mempunyai liabiliti atau berdepan dengan tuduhan mahkamah.
Jadi desakan beliau untuk diadakan pilihan raya supaya dilihat murni dan tidak mempunyai niat buruk di sebaliknya.
Ini adalah kerana selama ini pilihan raya umum awal ini adalah kehendak kluster mahkamah iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Mereka dikatakan mahukan UMNO kembali berkuasa sepenuhnya dan bukan berkongsi kuasa dengan Bersatu serta Pas seperti dewasa ini, bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk masuk campur urusan mahkamah.
Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan tetapi ia dibangkitkan oleh dua mantan perdana menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sedikit ia mempengaruhi tanggapan umum terhadap UMNO dan ia tidak baik bagi parti itu yang dalam usaha kembali berkuasa secara mutlak di negara ini.
Lantaran langkah mengadakan pilihan raya negeri di Melaka dan Johor juga dikatakan sebagai usaha untuk merealisasikan impian itu.
Tok Mat memberi alasan bahawa kerajaan sekarang tidak stabil, sama juga alasan diadakan dua pilihan raya negeri pada masa ini.
Ini bermakna Tok Mat mahu mengembalikan kegemilangan pemerintahan UMNO lebih 60 tahun dengan mengadakan pilihan raya umum.
Sebelum tutup mata pemimpin-pemimpin otai UMNO ini mahu melihat parti itu kembali gah dipersada tanah air dan mungkin mereka juga sedar kejatuhan UMNO adalah berpunca daripada tindakan mereka sendiri.
Bukan sahaja bercakaran sesama sendiri, tetapi juga menyakitkan hati rakyat sehingga majoriti memutuskan untuk memilih kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya yang lalu.
Namun UMNO sendiri perlu sedar bahawa ketidakstabilan politik tanah air banyak disumbang oleh para pemimpin parti itu.
Kerajaan PH hanya mampu bertahan 22 bulan kerana diasak oleh para pemimpin UMNO dan akhirnya bersepakat dengan Pas dan Bersatu untuk meruntuhkan kerajaan dipilih rakyat dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pemimpin UMNO diketuai oleh kluster mahkamah membentuk pakatan menarik sokongan daripada Muhyiddin menyebabkan Presiden Bersatu itu terpaksa meletakkan jawatan perdana menteri.
Kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai perdana menteri dan beliau Naib Presiden UMNO yang paling kanan dan sepatutnya mandat akan tamat pada tahun hadapan.
Nampaknya Tok Mat juga bersekongkol dengan kluster mahkamah untuk mendesak Ismail Sabri supaya menyembah hasrat membubarkan parlimen untuk diadakan pilihan raya.
Sedangkan kes Covid-19 masih lagi tinggi dan rakyat dalam keadaan ketakutan penularan wabak yang sangat cepat setelah varian Omicron tercetus.
Lihat sahaja situasi di Johor penularan wabak ini begitu cepat kerana pilihan raya negeri yang sedang berlangsung.
Bukan sahaja ahli politik yang terkena jangkitan wabak maut itu, bahkan wartawan yang membuat liputan itu juga mula dijangkiti Omicron.
Jika alasan ekonomi digunakan kerajaan yang ada pada masa ini memang sedang bertungkus-lumus memulihkan ekonomi negara.
Tiada pil ajaib untuk memulihkan ekonomi negara ketika ini, kerana seluruh dunia berdepan situasi tidak menentu.
Selain dasar dan polisis baik kerajaan, ia juga memerlukan kerjasama semua pihak khususnya orang politik untuk sama-sama kita bangkit.
Sebenarnya permintaan Tok Mat ini lebih kepada si supir yang mendesak tuannya supaya memperbaharui cukai jalan kereta, sedangkan cukai jalan masih lambat lagi tempoh tamatnya.
Perbuatan Tok Mat ini memang tidak menghormati Ismail Sabri yang memegang jawatan perdana menteri dan berada di dalam saf sama kepimpinan parti.
Tok Mat sebagai pemimpin yang berpengalaman sepatutnya memberi contoh yang baik dan menanam budaya menghormati sesama pemimpin parti, supaya parti sendiri harmoni sebelum mengharmonikan negara.